-2.jpg)
DALAM ulasan Lim Kit Siang berjudul ‘Nasihat Terakhir Kepada Mahathir Mohamad’ yang disiarkan oleh portal berita semalam beliau ada menyentuh mengenai kegagalan Wawasan 2020 oleh Dr Mahathir Mohamad.
Beliau menyebut kembali Dr Mahathir mengumumkan kegagalan wawasan 2020 yang baginya sebagai suatu hujah kegagalan bekas perdana menteri.
Saya merasa lucu dengan kenyataan orang besar DAP ini kerana hujah ini sering digunakan oleh mereka yang tidak membaca malah senantiasa mencari salah Dr Mahathir.
Saya katakan lucu kerana sungguhpun idea wawasan 2020 ini diilhamkan oleh Dr Mahathir kejayaan wawasan ini sebenarnya bergantung kepada pewaris kepimpinan selepasnya.
Tidak masuk akal bagi Dr Mahathir untuk memegang jawatan Perdana Menteri dari 1983 hingga tahun 2020 bagi memastikan Wawasan 2020 berjaya atau gagal.
Justeru, kegagalan Wawasan 2020 ini tidak wajar diletakkan di bahu Dr Mahathir seorang kerana pewaris kepimpinan negara antara 2003 hingga 2018 ada dua orang Perdana Menteri.
Mengapa tak ditanya kepada 12 PM ini, mengapa mereka gagal meneruskan kesinambungan Wawasan 2020 hingga berjaya, mengapa?
Menjadikan kegagalan Wawasan 2020 sebagai kegagalan Dr Mahathir, itu hujah ‘macai’ politik, bukan taraf ahli politik seperti Lim. Kerana itu saya merasa lucu dengan hujah beliau.
Malah saya sanggup mengatakan bahawa Lim juga harus bertanggungjawab atas kegagalan Wawasan 2020 apabila dia sendiri gagal meyakinkan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong hingga mereka menolak cadangan Dr Mahathir untuk mewujudkan sekolah wawasan.
Penolakan sekolah wawasan oleh kumpulan Dong Zong kerana mereka berhujah ia akan menghakis identiti mereka. Soalannya, identiti apa?
Apakah identiti yang Dong Zong mahukan tidak sama dengan identiti yang didambakan oleh Lim iaitu Malaysian Malaysia? Atau sama? Yang mana satu?
Jika Lim mahu dilihat Malaysia sebagai negara pelbagai kaum, seharusnya tiada lagi sekolah vernakular dan sekolah wawasan adalah lebih ‘Malaysian’ kerana semua pelajar merentasi kaum duduk dibawah satu bumbung.
Begitu juga dengan hujah beliau tentang perjuangan Melayu oleh Dr Mahathir.
Jika Lim merasakan perjuangan Dr Mahathir untuk orang Melayu sesuatu yang tidak relevan dan salah, beliau seharusnya bertanya berapa jumlah tanah rizab orang Melayu yang terkini.
Adakah Lim sebagai warga Malaysia yang cintakan tanah air, merasakan permasalahan mengenai tanah rizab Melayu ini bukan suatu perkara yang penting? Atau ia hanya sekadar isu bumiputera sahaja?
Adakah Lim tidak sedar bagaimana pemodal kaya menggunakan wang sebagai tarikan kepada orang Melayu yang miskin dan malas untuk menjual tanahnya sebagaimana kroni Umno mengambil tanah orang Melayu miskin di bandar?
Lim mempunyai suatu masalah apabila hujahnya berpusing-pusing. Dalam ulasan ‘Nasihat Terakhir Kepada Mahathir’ beliau juga menyentuh tentang tiada halangan bukan Melayu untuk jawatan Perdana Menteri.
Kita bersetuju Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan secara tersurat sebaliknya secara tersirat bahawa sesiapa boleh menjadi Perdana Menteri jika mendapat sokongan majoriti dewan. Kita tak perlu berbeza pendapat dalam hal ini. Kita bersetuju.
Lim harus menjawab dengan jujur atau tak perlu jawab kerana soalan ini datang dari saya yang bukan setaraf dengannya. Tak mengapa.
Tetapi saya utarakan juga soalan ini agar pembaca sendiri boleh menilai kejujuran seorang lelaki bernama Lim Kit Siang.
Sebelum kita bercakap tentang Perdana Menteri bukan Melayu, ada baiknya kita melihat dulu bagaimana seorang Melayu boleh menjadi Setiausaha Agung parti DAP dalam hayat Lim sendiri.
Apakah akan ada? Jawapan tiada.
Maka persoalan tentang perdana menteri bukan melayu, tak perlu dipolemikkan dan berhentilah di sini.
Lebih baik kita belajar berucap dalam bahasa Melayu dengan betul dan fasih dahulu. Itu nasihat saya buat Lim Kit Siang. – 22 Mac, 2023.
* Mahdzir Ibrahim, timbalan ketua penerangan GTA
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen