Sistem bayaran terbuka di tol terpilih menjelang September, kata menteri 


Ravin Palanisamy

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata pengguna boleh membuat pembayaran tol menggunakan kad kredit atau kad debit selain Touch’ n Go.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2023.

SEBANYAK lima lebuh raya akan melaksanakan sistem bayaran terbuka menjelang September tahun ini, kata Alexander Nanta Linggi.

Menteri Kerja Raya berkata menerusi sistem terbuka itu, pengguna boleh membuat pembayaran tol menggunakan kad kredit atau kad debit selain Touch’ n Go (TnG).

“Lebuhraya berkenaan adalah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini. 

Kenyataan Nanta dibuat selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebagai menjawab soalan seorang peserta pada dialog ‘Meet Anwar’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam, berkata kerajaan akan mengkaji semula monopoli TnG dalam pengangkutan awam dan sistem pembayaran tol.

Nanta berkata sejak awal tahun ini, beliau telah mengarahkan kementeriannya merancang dan berbincang dengan pihak berkaitan serta syarikat konsesi lebuh raya untuk bergerak ke arah melaksanakan sistem bayaran terbuka.

“Pelaksanaan open payment system ini adalah antara inisiatif awal sebagai peralihan ke arah system Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang sedang giat diusahakan.

Melalui pelaksanaan MLFF, open payment system akan dilaksanakan bagi kutipan tol bagi kesemua lebuh raya di Malaysia dan akan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan eWallet untuk turut serta dan tiada lagi monopoli oleh pihak Touch N Go. 

“Dengan itu, persaingan sihat akan wujud di antara pemain industri yang akan membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuhraya untuk membuat pembayaran tol sekaligus memberikan kemudahan kepada mereka,” katanya. 

Nanta juga menambah Proof of Concept (POC) MLFF akan dijalankan sebelum penghujung Oktober 2023 dan lokasinya akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Pelaksanaan sepenuhnya MLFF ini akan dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024,” tambahnya. – 21 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen