Pengusaha kantin tidak boleh sesuka hati naikkan harga, kata timbalan menteri


Ravin Palanisamy

Sebarang perubahan harga makanan di kantin sekolah perlu dibincang dan dipersetujui oleh pihak sekolah dan pengusaha kantin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac 2023.

SEBARANG perubahan harga makanan dan minuman yang dijual di kantin sekolah mesti dipersetujui secara kolektif oleh pihak sekolah serta pengusaha kantin, Parlimen diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata pengusaha kantin sekolah tidak boleh menaikkan harga sendiri kerana perkara berkenaan harga makanan dan minuman terkandung dalam buku panduan kantin dan perjanjian sewa kantin.

“Pihak sekolah perlu memastikan jualan makanan dan minuman di kantin berada pada harga berpatutan.

“Sebarang perubahan harga makanan di kantin sekolah perlu dibincang dan dipersetujui oleh pihak sekolah dan pengusaha kantin.

“Sebagai langkah kawalan dan amaran, Kementerian Pendidikan mengarahkan Jabatan Pendidikan negeri (JPN), pegawai pendidikan daerah (PPD) dan pentadbir sekolah untuk memantau kantin,” kata ahli Parlimen Tanjong itu kepada dewan.

Lim menjawab soalan dibangkitkan Hassan Saad [Baling-PN], yang ingin tahu tindakan kementerian untuk menangani kenaikan harga makanan di kantin sekolah susulan harga bahan mentah yang tinggi di pasaran.

Lim berkata kementerian melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Pelajar bertanggungjawab memantau operasi kantin dan memastikan makanan yang dijual bersih, berkualiti tinggi, berkhasiat, selamat dan dengan harga berpatutan.

“AJK ini sentiasa mengadakan perbincangan dengan pengusaha kantin bagi memastikan peraturan yang terkandung dalam Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat dan perjanjian sewaan serta pengurusan kantin sekolah dipatuhi.

“Berdasarkan buku panduan tersebut, menjadi tanggungjawab pengetua atau guru besar untuk memastikan pengusaha kantin menjual makanan mengikut senarai makanan dan minuman yang terkandung dalam sebut harga dilampirkan bersama perjanjian sewa dan pengurusan kantin sekolah,” katanya.

Selain pengetua atau guru besar dan pengusaha kantin, Lim berkata jawatankuasa itu turut merangkumi wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sesebuah sekolah dan wakil guru. – 21 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen