LONDON bersedia mengisi kekosongan dalam pembekalan senjata Poland yang mungkin akan timbul sebaik Warsaw menghantar jet pejuang MiG-29 ke Ukraine, kata Menteri Negara UK bagi Angkatan Tentera James Heappey pada Isnin.
London telah menyediakan Warsaw dengan kereta kebal Challenger-2 selepas penghantaran kereta kebal tempur utama T-72 ke Kyiv, kata Heappey dalam wawancaranya menerusi akhbar Jerman Welt.
United Kingdom akan bertindak balas secara positif meskipun tiada permohonan dari Poland setakat ini.
Presiden Poland Andrzej Duda pada Khamis berkata negara itu akan menghantar empat jet pejuang MiG-29 kepada Ukraine dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Perdana Menteri Slovakia Eduard Heger pada Jumaat juga berkata bahawa kerajaan telah meluluskan penghantaran pesawat pejuang MiG-29 dan sistem pertahanan udara Kup ke Kyiv.
Selepas Rusia memulakan operasi ketenteraan di Ukraine pada Februari 2022, banyak negara Barat termasuk Poland mengutuk tindakan Moscow dan mula menyokong Kyiv.
Warsaw telah menghantar kereta kebal, dron, peluru, mesin dan peralatan tentera lain ke Ukraine.
Rusia berulang kali memberi amaran bahawa bantuan senjata ke Ukraine hanya akan membawa kepada peningkatan konflik yang lebih teruk. – Bernama, 20 Mac, 2023.
Komen