Indira Gandhi mohon batal undang-undang tukar agama sepihak 8 negeri


Ravin Palanisamy

Ibu tunggal M Indira Gandhi dan 13 lagi plaintif memohon untuk membatalkan undang-undang penukaran agama secara sepihak yang terkandung dalam enakmen negeri Wilayah Persekutuan, Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor.

IBU tunggal M. Indira Gandhi memohon kepada mahkamah untuk membatalkan undang-undang membenarkan penukaran agama secara sepihak di lapan negeri.

Bekas guru tadika itu bersama 13 lagi plaintif memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu.

Tiga anak Indira diislamkan secara sepihak oleh bekas suaminya yang memeluk Islam.

Pengerusi Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) Arun Dorasamary pada sidang media hari ini berkata kesemua plaintif akan merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan 2018 ke atas kes Indira, yang mendapati penukaran agama agama tiga anaknya tidak mengikut perlembagaan.

Arun berkata plaintif memohon untuk membatalkan undang-undang penukaran agama secara sepihak yang terkandung dalam enakmen negeri Wilayah Persekutuan, Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor.

“Hampir lima tahun (selepas keputusan Mahkamah Persekutuan), masih ada negeri yang mengamalkan penukaran agama unilateral (sepihak) selaras dengan enakmen negeri masing-masing.

“Kami memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengisytiharkan enakmen Wilayah Persekutuan dan tujuh negeri lain sebagai terbatal dan tidak sah,” kata Arun.

“Kami menyangka selepas Mahkamah Persekutuan menerangkan mengenai penukaran sepihak dan mentakrifkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan secara jelas, Pejabat Peguam Negara atau pentadbiran negeri sepatutnya mengambil tindakan yang betul untuk meminda enakmen mereka. Tetapi ia tidak berlaku.

“Sebaliknya, keputusan Mahkamah Persekutuan diabaikan, bermakna satu penghinaan terhadap penghakiman mahkamah, dan mereka (negeri) meneruskan enakmen yang jelas sekali tidak berperlembagaan,” katanya. – 20 Mac 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen