.jpg)
Kerajaan perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditunjangi oleh Pakatan Harapan (PH) dengan dukungan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa buah parti lain.
Sebagai tunjang PH, PKR yang diketuai oleh Anwar sebagai presiden mempunyai teras perjuangannya yang tersendiri yang diserap menjadi teras perjuangan PH itu sendiri, khususnya perjuangan reformasi merangkap Malaysia Madani.
Perjuangan reformasi PKR ini terangkum dalam Deklarasi Permatang Pauh yang dilafazkan oleh Anwar pada 12 September 1998 dengan bertolak dari penegasan Ayat 88 Surah Hud: “Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah (pembaikian) sedaya upaya kami.”
Elemen utama islah (pembaikian) ini pula adalah “gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah”.
Dalam manifesto yang PH bentangkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ada dicatatkan bahawa satu daripada tiga matlamat utama PH, selain “Menjamin Kesejahteraan Rakyat” dan “Mempersiap Negara Untuk Masa Hadapan”, adalah “Mewujudkan Pentadbiran Beramanah”.
Dalam majlis “Amanat Perdana Menteri: Membangun Malaysia Madani” di Putrajaya International Convention Centre pada 19 Januari soal “Mewujudkan Pentadbiran Beramanah” ditekankan lagi sebagai satu daripada empat Teras Strategik Utama Malaysia Madani.
Turut ditegaskan oleh Anwar ialah enjin utama, yakni, jentera kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar perlu berfungsi secara optimal. Justeru kita perlu selesaikan isu tata kelola serta koordinasi, terutamanya bermula dengan pihak pengurusan atasan.
Selaras dengan penegasan begini, tidak hairanlah jika pada peringkat awal pemerintahan beliau Anwar banyak memperuntukkan masa untuk menyemak fai-fail kerajaan terdahulu bagi memastikan tata kelola baik dan pentadbiran beramanah dapat diwujudkan.
Seperti yang dinyatakan oleh Anwar dalam ucapan penangguhan Kongres Khas PKR di Stadium Melawati pada 18 Mac lalu, “Anwar tak ada fikir lain, rasuah, rasuah, rasuah”, ini kerana kalau kita tidak bersihkan proses maka kebocoran dan ketirisan akan menjadi terlalu banyak.
Inilah satu sikap dan pendirian terpuji yang dilakukan oleh Anwar walau dengan sesiapa sekalipun beliau bekerjasama, tetapi tidak sedikit pun beliau bertolak ansur dalam soal teras seperti penegakan negara hukum, pembanterasan rasuah serta pembelaan nasib rakyat.
Malang sekali bila ada pemimpin tertinggi parti Islam yang boleh menyifatkan tekad bagi mewujudkan tata kelola baik dan pentadbiran beramanah ini sebagai pesta kezaliman, kononnya kerana mengheret kalangan mereka yang dianggap lawan ke mahkamah secara terpilih.
Lebih teruk lagi, pemimpin ini boleh membawa hujah dan naratif salah mengenai Islam, kononnya “Islam menggalakkan penyelesaian secara damai tanpa melalui prosedur mahkamah yang terdapat banyak syarat dan adabnya supaya tidak terdedah kepada berlakunya kezaliman”.
Ada pula tokoh media yang membayangkan seolah-olah Anwar adalah seorang pendendam dengan menyebut “Perdana menteri nampak macam masih terperangkap dalam lipatan masa (time warp) dengan beban (baggage) masa lampau, bergaduh sana sini dengan bayang-bayang sendiri”.
Kesemua tuduhan ini amat tidak wajar kerana semua salah laku dan penyelewengan, walau dilakukan oleh sesiapa dan pada bila-bila masa sekalipun, sudah semestinya perlu disiasat bagi membolehkan sistem bobrok dan usang diperbetulkan dan negara dapat bergerak ke hadapan.
Apakah salah laku dan penyelewengan boleh diselesaikan secara damai? Di manakah letaknya prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang serta prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban jika salah laku dan penyelewengan tidak mahu dibawa ke mahkamah?
Meneliti segala kenyataan Anwar sejak menjadi perdana menteri, tidak ada salah laku dan penyelewengan yang terlepas daripada pandangan beliau, sekali gus menafikan dakwaan bahawa tindakan penyiasatan dan pendakwaan dibuat secara terpilih demi melunaskan dendam.
Niat murni Anwar juga hanyalah satu, iaitu untuk membetulkan kesilapan-kesilapan ini sekali gus menyelamatkan dana rakyat dari kebocoran dan ketirisan untuk dipulangkan balik kepada rakyat, bukannya untuk memalukan atau mencalarkan imej musuh-musuh politik beliau.
Malah Anwar sendiri menegaskan dalam Kongres Khas PKR bahawa beliau telah mengarahkan badan-badan penguatkuasaan undang-undang negara supaya “siapa sahaja yang sakau/rasuah, tangkap dan penjarakan”, walaupun mereka dari pihak kerajaan sendiri.
Dalam isu Pandora Papers yang mendedahkan beberapa mantan pemimpin negara yang menyimpan kekayaan di syarikat luar pesisir di luar negara contohnya, Anwar telah menegaskan di Parlimen pada 21 Februari bahawa kerajaan memberi jaminan akan menyelesaikannya.
Dalam isu projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), Anwar tegaskan di Parlimen pada 9 Mac bahawa ia tidak dibatalkan tetapi dirunding semula, selain siasatan juga dibuat tanpa mengira Jana Wibawa Fasa 1 atau Fasa 2.
Begitu juga dengan siasatan berhubung isu pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang Anwar tegaskan di Parlimen pada 15 Mac bahawa siasatan ke atasnya mesti diteruskan kerana pendakwaan peringkat awal sebelum ini tidak mencukupi sedangkan ia skandal berskala besar.
Dari kesilapan lalu beginilah maka Anwar mencadangkan proses tender tanpa nama dilaksanakan oleh kerajaan pada masa depan bagi memastikan segala keputusan akan dibuat secara telus, berdasarkan kemampuan, rekod keupayaan serta keupayaan kewangan syarikat terlibat.
Kesemua ini adalah perkara besar yang mesti dilakukan jika kita mahu melihat negara dapat dibawa menuju hala tuju yang betul, dan semoga Anwar cekal dan tabah melaksanakan islah ini walaupun ditentang pihak-pihak tertentu kerana rakyat terbanyak berada di belakang beliau.
Kita patut teruja bila Anwar menyatakan beliau tidak gentar dan tidak akan berundur walaupun berhadapan dengan ancaman pihak tertentu yang mahu mengumpulkan Tun-Tun, Tan Sri-Tan Sri, tauke-tauke besar, untuk menggugat kepimpinan beliau ekoran ketegasan beliau ini. – 20 Mac 2023.
* Dr. Mashitah Mohd. Udin, pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen