Sukar untuk Pakatan hapuskan GST, kata ahli ekonomi


Sheridan Mahavera

Kerajaan Pakatan Harapan akan terbeban untuk mencari sumber pendapatan lain jika menghapuskan GST yang menyumbang RM42 bilion kepada tabung negara pada 2017, berbanding SST hanya RM20 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) perlu mempunyai sumber pendapatan alternatif bagi mengatasi kekurangan sumber pendapatan akibat pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) - cadangan utama manifesto pilihan raya, kata seorang ahli ekonomi hari ini.

Prof Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata kerajaan PH akan terbeban untuk mencari sumber pendapatan yang lain kerana GST menyumbang RM42 bilion kepada tabung negara pada 2017, berbanding sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang mengumpul hanya kira-kira RM20 bilion.

“Anda masih boleh mencari sumber pendapatan alternatif seperti mengurangkan perbelanjaan kerajaan melalui pemotongan pembaziran,” Yeah memberitahu seminar mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Malaysia di ISEAS-Yusof Ishak Institute, Singapura.

“Tetapi yang lebih penting ialah GST adalah sistem cukai yang efisien dan menyeluruh. Sedangkan SST hanya untuk sebahagian pengguna dan pengeluar. Ia kurang efisien.”

Dalam manifesto pilihan raya PH, yang berkempen melawan gabungan Barisan Nasional (BN), berjanji untuk menurunkan kadar GST kepada 0% dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.

Cadangan itu dikritik oleh pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak yang mengatakan ia akan mengurangkan sumber pendapatan diperlukan.

Namun, PH mendakwa GST menaikkan kadar inflasi dan menjejaskan rakyat berpendapatan rendah.

Untuk menampung kekurangan pendapatan, PH merancang memperkenalkan semula SST, cukai pengguna yang wujud sebelum pengenalan GST pada 2015.

Menurut perkiraan PH, ia merancang mengurangkan pembaziran dan rasuah dalam perbelanjaan kerajaan, yang menelan kos sebanyak RM20 bilion setiap tahun.

Dalam bajet alternatif 2018 yang membentuk asas manifesto ekonomi, pakatan itu berkata SST baru akan menyumbang RM16.5 bilion kepada dana awam.

Ini akan mengurangkan kerugian daripada penyingkiran GST kepada RM25.50 bilion daripada RM42 bilion, menurut Wong Chen, seorang daripada penulis manifesto ekonomi.

Menyuntik semula RM25.5 bilion ke dalam pasaran akan menyebabkan ledakan dalam penggunaan dan aktiviti perniagaan yang akan terus meningkatkan hasil bagi kerajaan, kata Wong.

Yeah berkata alternatif yang lebih baik daripada menghapuskan sepenuhnya GST adalah menurunkan kadar hingga 4% dan meneruskan subsidi bersasar bagi golongan berpendapatan rendah. – 16 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen