SPEAKER Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia perlu mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat terhadap tiga ahli Parlimen DAP, yang menggesanya agar meletakkan jawatan dan dihukum, kata DAP.
Setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng berkata, Pandikar perlu ingat bahawa terdapat hak kebebasan bersuara dalam demokrasi.
“Tiga ahli Parlimen itu menyatakan pandangan mereka di dalam Dewan. Tapi kini, Pandikar dilihat mahu menggunakan kuasa Dewan untuk mengambil tindakan terhadap mereka.
“Ia adalah tidak demokratik. Saya harap beliau pertimbangkan semula. Terdapat kebebasan bersuara dalam mana-mana demokrasi,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.
Pada 7 Mac lalu, tiga ahli Parlimen DAP - Nga Kor Ming (Taiping), Ngeh Koo Ham (Beruas) dan V. Sivakumar (Batu Gajah) - mengeluarkan kenyataan memggesa Pandikar untuk meletakkan jawatan kerana menolak usul kapal mewah The Equinimity yang berkait dengan 1Malaysia Development Berhad serta soalan berkaitan syarikat pelaburan negara itu.
Pandikar sebelum itu menolak usul tergempar oleh Ahli Parlimen PKR Alor Setar Gooi Hsiao Leung, yang menggesa Perdana Menteri Najib Razak menjelaskan mengapa kerajaan tidak berniat menuntut semula kapal mewah yang dirampas itu.
Usul itu ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 18(7)(c), yang membenarkan speaker untuk menolak sebarang usul yang dikemukakan kepadanya jika ia melanggar Peraturan Mesyuarat.
Pandikar berkata, tiga ahli Parlimen DAP itu menghinanya dan mencemarkan nama baik Dewan dengan tuduhan itu, termasuk gesaan untuknya meletakkan jawatan kerana gagal menegakkan kebenaran sebagai seorang speaker.
Beliau kemudiannya menulis surat kepada ketiga-tiga ahli Parlimen terbabit yang menuntut permohonan maaf di Dewan Rakyat berhubung kenyataan yang menuduhnya kolusi dalam menutup skandal rasuah.
“Kegagalan berbuat demikian akan membawa kepada tindakan terhadap Yang Berhormat,” katanya dalam surat berkenaan.
Lim, yang merupakan ahli Parlimen Bagan dan ketua menteri Pulau Pinang, berkata sekiranya ahli Parlimen dinafikan hak untuk berbahas dan membangkitkan isu di Dewan Rakyat, tiada gunanya menjadi ahli Parlimen.
“Mereka adalah ahli Parlimen yang dipilih secara demokratik oleh rakyat. Suara mereka tidak sepatutnya dinafikan.
“DAP mempertahankan mereka bertiga, yang berkata mereka tetap dengan kenyataan mereka. Saya juga bersetuju mereka perlu berjumpa dengan Pandikar untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu,” katanya. – 16 Mac, 2018.
Komen