Kumpulan sivil tak puas hati perkembangan perlahan pembaharuan institusi Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim pernah bersetuju dan berkata Sosma adalah undang-undang zalim dan mesti dimansuhkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2023.

KERAJAAN pimpinan Anwar Ibrahim masih belum menunjukkan kemajuan dalam pembaharuan institusi negara, kata masyarakat sivil.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka melihat Anwar sebagai reformis sejati dan sewajarnya melaksanakan reformasi yang dijanjikannya sebelum berkuasa.

Menyifatkan kerajaan sekarang “perlahan” dan “pasif”, mereka menggesa kerajaan lebih aktif serta teguh dalam isu berkait reformasi juga hak asasi manusia termasuk meneruskan pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia Sevan Doraisamy berkata reformasi itu sememangnya lebih perlahan daripada jangkaan.

Beliau menggesa kerajaan lebih menekankan soal isu hak asasi manusia selain kementerian berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) lebih proaktif.

Namun Sevan akui kerajaan hari ini lebih telus berbanding dua kerajaan sebelumnya.

Beliau menambah terdapat beberapa perubahan termasuk kelulusan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkait kewarganegaraan automatik kepada anak yang dilahirkan di luar negara, penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak sebagai badan bebas dan pembentangan RUU berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori juga Akta Kebebasan Maklumat di Parlimen.

“Selain itu, usaha penting dijalankan KDN untuk menangani isu kematian dalam tahanan termasuk meminda Kaedah-kaedah Lokap 1953 dan membangun SOP untuk menambah baik pengurusan tahanan.

“Berbanding kerajaan sebelum ini terdapat peningkatan keterbukaan dalam kerajaan hari ini untuk melibatkan pertubuhan masyarakat sivil dalam pelbagai isu membimbangkan,” katanya.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia Sevan Doraisamy berkata kerajaan perlu lebih menekankan isu hak asasi manusia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2023.

Namun keluhan utamanya berkait kenyataan menteri KDN baru-baru ini yang menyebut kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan atau mengkaji semula Sosma.

“Memperkukuh integriti institusi adalah salah satu bidang utama yang diperjuangkan oleh pentadbiran kerajaan sekarang dan pemansuhan undang-undang penahanan tanpa bicara seperti Sosma adalah kunci kepada merealisasikan perjuangan itu,” kata Stevan.

Sevan turut menekankan kerajaan masih belum memberi maklumat terkini berkait Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan terdapat jurang yang perlu ditangani seperti kuasa penyiasatan suruhanjaya yang terhad dan ketiadaan kuasa penguatkuasaan yang menjadi mekanisme penting untuk memastikan pengawasan mencukupi terhadap kelakuan polis.

Menteri KDN angkuh

Pengarah Eksekutif Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) Khalid Ismath turut senada dengan Sevan.

Namun Khalid menuding Menteri KDN Saifuddin Nasution Ismail sebagai angkuh selepas menjadi menteri.

“Secara umumnya prosesnya perlahan walau ada beberapa penambahbaikan.

“Perkara penting macam Sosma yang digunakan PH sebelum ini ketika berkempen masih belum dimansuhkan.

“Malah menterinya pun kini seorang yang angkuh dengan tidak mahu terlibat dengan mana-mana pihak berkepentingan. Pegawainya tidak mahu hubungi NGO semula untuk berbincang,” katanya.

Pada Februari Saifuddin berkata Sosma masih relevan untuk menjaga keselamatan negara dan akan diperkukuh.

Katanya Sosma penting untuk menjaga ketenteraman awam dan polis memerlukan undang-undang itu untuk mengelak sebarang ancaman terhadap kedaulatan serta keharmonian negara.

Pada Disember tahun lalu Saifuddin berkata kerajaan tiada hasrat untuk menyemak semula Sosma yang memperuntukkan tahanan pencegahan sehingga 28 hari.

Namun pemansuhan Sosma bukan antara janji PH pada manifesto PRU15 lalu tapi pemimpin PH mengecam penggunaan undang-undang itu.

Gerakan Desak Sampai Mansuh, sebuah NGO yang berusaha untuk menghapuskan Sosma berkata Anwar sendiri pernah bersetuju Sosma adalah undang-undang zalim dan mesti dibatalkan.

Pengasasnya Mahathir Abdul Rahman berkata Saifuddin hanya mengikut panduan diberikan polis berkait perkara itu.

“Sosma ini akta yang sangat kejam dan tidak boleh wujud. Ia beri kuasa besar kepada polis untuk tahan sesiapa sahaja yang dirasakan sebagai ancaman. Dalam pertemuan saya dengan Anwar Ibrahim, beliau kata Sosma mesti dihapuskan.

“Ini sebelum beliau jadi PM. Sekarang Saifuddin menteri KDN tapi beliau tidak tahu apa-apa. Beliau hanya ikut apa yang polis beritahu tentang undang-undang itu.

“Beliau seharusnya terlibat dengan kumpulan hak asasi manusia dan keluarga tahanan tapi beliau tak buat begitu. Tak macam orang lain, Saifuddin tak tahu apa-apa tentang Sosma,” katanya dengan nada berang.

Adik Mahathir yang merupakan seorang mekanik polis sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah di bawah Sosma menyokong kumpulan pengganas IS, pertuduhan yang dinafikannya. – 20 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen