Umno lega lepas pemilihan sementara hadapi PRN, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Dua jawatan tertinggi Umno, presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2023.

ANGGOTA baharu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu mengembalikan sokongan orang Melayu kepada Umno bagi mengukuhkan kerajaan perpaduan, kata penganalisis dan pemimpin parti.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, pemilihan yang berlangsung semalam melegakan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan juga Perdana Menteri Anwar Ibrahim

Apa yang pasti, pentadbiran Anwar tidak akan tercabar dengan barisan kepimpinan baharu Umno ini, kata bekas pemimpin mahasiswa Pemuda Umno Syed Mohd Syed Nasir.

Beliau melihat masa depan kerajaan perpaduan kukuh kerana barisan pemenang dalam pemilihan kali ini tidak menganggu-gugat kestabilan politik kerajaan perpaduan,” tambahnya.

Namun prestasi barisan pimpinan baharu Umno ini bergantung kepada keupayaan mereka meraih kembali sokongan pengundi Melayu yang kini menjurus kepada PN.

“Pemilihan kali ini bukan penanda aras kekuatan Umno tetapi lebih kepada mahu membuktikan bahawa Umno mahukan perubahan yang maksima terhadap pemimpin yang ada.

“Pembuktian kekuatan kelak bergantung pada PRU16 akan datang sama ada mereka yang dipilih ini mampu mengembalikan Umno sebagai parti nombor satu kepada orang Melayu,” katanya

Ahli Umno bahagian Simpang Renggam itu berkata, penambahbaikan dijangka dapat dilihat selepas berlaku pembersihan terhadap kumpulan yang mahukan perubahan dalam parti.

“Penambahbaikan akan jelas terlihat tiga bulan selepas pemilihan Umno kerana golongan-golongan yang mahukan perubahan banyak tewas dalam pemilihan kali ini.

“Tetapi pengharapan perubahan yang tinggi tetap diletakkan oleh perwakilan pada mereka yang telah menang dalam pemilihan kali ini,” katanya.

Umno perlu bekerja keras untuk megembalikan keyakinan pengundi Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2023.

Bekas exco Pemuda Umno Bastien Onn juga masih sangsi sama ada barisan pemimpin baharu itu menunjukkan Umno semakin kuat dan orang Melayu kembali kepada mereka.

Oleh itu beliau menjangka ujian sebenar buat Umno hanya akan berlangsung dalam pilihan raya negeri kelak kerana pemilihan kali ini tidak melibatkan jawatan tertinggi.

“Mungkin rakyat tidak berminat dengan apa yang berlaku dalam parti, ujiannya yang sebenar adalah PRN nanti. Sukar diramal sebab presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

“Ia berdasarkan sokongan orang Melayu jadi ujian pertama adalah dalam PRN,” katanya.

Penganalisis juga melihat gerak kerja Umno kini makin mudah dan dapat difokuskan kepada PRN kerana kumpulan pro-presiden sudah pun menguasai jawatan utama.

Namun mereka tetap menanggung beban berat untuk memulihkan maruah dan kepercayaan ahli Umno, kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar.

Katanya tanggungjawab itu berat untuk mendapatkan keyakinan pengundi Melayu yang sudahpun menarik sokongan mereka terhadap Umno dalam PRU15.

“Barisan baharu ini juga memudahkan penyusunan gerak kerja presiden dan timbalan presiden, pasukan ini tak memeningkan kepala mereka untuk susun hala tuju.

“Dan dengan berada dalam kerajaan mereka perlu manfaatkan sepenuhnya peluang dapatkan keyakinan pengundi Melayu.

“Hanya cabaran yang perlu diberi tumpuan oleh Umno adalah PRN akan datang. Itu ujian pertama dan mereka perlu yakinkan pengundi Umno bagaimana untuk pulihkan keyakinan mereka.”

Hisomuddin juga berkata Umno seterusnya perlu menugaskan ahlinya menjelaskan dengan lebih kerap kepada akar umbi berkenaan penyertaan mereka bersama kerajaan perpaduan.

“Perlu jelaskan, pada pemerhatian kami di lapangan kurang penjelasan amat melemahkan Umno di akar umbi…(maklumat) macam tersangkut sikit.

“Dengan berada dalam kerajaan perpaduan, mereka perlu jelaskan kepada akar umbi bagaimana perlu pulihkan keyakinan, (oleh kerana) PN ada kelebihan meraih kepercayaan Melayu itu dilema ahli Umno akar umbi.

“Aspek komunikasi itu tanggungjawab presiden dan MKT untuk beri hujah naratif yang sebabkan akar umbi Umno faham dan boleh pikul panji parti bagi menghadapi PRN akan datang,” katanya.

Pemilihan kali ini menunjukkan perwakilan memilih calon pimpinan yang memihak kepada jalur presiden manakala mereka yang tidak sehaluan gagal mendapat tempat.

Antaranya bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad yang gagal merebut jawatan naib presiden manakala jawatan ketua bahagian Pontian beliau dirampas Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu sebelum ini termasuk dalam kumpulan ahli Parlimen Umno yang dilabel pengkhianat sewaktu Perhimpunan Agung Umno lalu.

Mereka dinamakan sebagai pemimpin Umno yang menandatangani akuan bersumpah menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas PRU15.

Ahmad yang juga ahli Parlimen Pontian dikenali sebagai penyokong Ahmad Zahid dan kini turut berjaya menempah kedudukan untuk jawatan MKT dipilih perwakilan.

Mengulas lanjut Hisomuddin juga berkata keputusan pemilihan Umno itu turut melegakan kerajaan perpaduan kerana mereka kini sehaluan dengan timbalan perdana menteri Ahmad Zahid.

“Setelah dapat keputusan itu boleh hela nafas lega. Ini barisan kepimpinan yang menang ini selari untuk menyertai kerajaan perpaduan tiada lagi bunyi (penentangan) dalaman.

“Ini pasukan sokong presiden dengan padu, secara majoriti sokong presiden mudahkan perancangan presiden,” katanya.

Cabarannya sama ada Umno masih diterima untuk menghentikan momentum PN atau trend pilihan raya umum lalu masih berterusan, katanya.

Keputusan pemilihan itu dilihat memberi kelegaan kepada Ahmad Zahid dan Anwar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2023.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula melihat keputusan pemilihan juga melihatkan Umno mempunyai barisan pelapis berkaliber yang berupaya menjadi pemimpin masa hadapan.

“Kemenangan calon bertanding ini nampak mereka progresif dan pemimpin masa depan. Antaranya Khaled Nordin dilihat progresif, suatu masa nanti beliau boleh ambil kepimpinan Umno.

“Ada orang muda dalam Umno dapat tempat saya yakin keputusan pemilihan membuka ruang kepada masa depan Umno yang lebih baik,” katanya.

Khaled yang juga pengerusi perhubungan Umno Johor dan penyandang mendapat undian kedua terbanyak di belakang Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Mereka sama-sama merebut kedudukan naib presiden di samping Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan Johari Abdul Ghani yang mendapat undian di tempat ketiga.

Mengulas lanjut Mazlan berkata beliau yakin kemenangan barisan pimpinan menyokong Ahmad Zahid memudahkan urusan parti itu sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

“Sudah pasti kemenangan calon pro presiden kuatkan hala tuju Umno sebagaimana keputusan presiden bersama kerajaan perpaduan di bawah Anwar.

“Sudah pasti perjanjian yang ditandatangani mereka sebelum ini akan kekal dan Umno mungkin melebarkan kerjasama bukan sahaja dalam bentuk kerajaan tapi didalam PRN.

“Jadi kerjasama lebih luas untuk Umno dan PH,” kata Mazlan.

Keputusan rasmi pemilihan Umno menunjukkan Shamsul Anuar Nasarah mendahului pungutan undi merebut jawatan MKT Umno dengan undian 178 undi daripada 189 bahagian.

Antara yang menarik perhatian bagi kedudukan MKT adalah muka baharu Tengku Zafrul Aziz yang menempah tempat untuk jawatan tersebut apabila memperolehi 167 undian bahagian.

Beliau juga menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua bahagian Umno Kota Raja.

Ketua Penerangan Umno Isham Jalil turut antara muka baharu dipilih sebagai anggota MKT apabila berjaya mendapat 101 undi. – 20 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen