Dr Mahathir gelar Anwar diktator


Diyana Ibrahim

Dr Mahathir ketika bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Perkasa di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Mac, 2023.

DR Mahathir Mohamad menggelar Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai diktator susulan tekanan ke atas pengkritik kerajaan dan wakil rakyat pembangkang.

Bekas perdana menteri itu juga menuduh Anwar sebagai hipokrit kerana melakukan tindakan serupa seperti tekanan yang didakwa dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dr Mahathir mendakwa demikian kerana percaya Anwar mengarahkan tekanan dibuat sehingga perhimpunan yang sepatutnya dihadirinya hari ini terpaksa dibatalkan.

“Ini kerajaan diktator tak boleh bercakap, ditegur akan ambil tindakan.

“Walhal masa mereka bukan kerajaan tiap minggu ada demonstrasi sampai angkat keretalah tapi kita bukan nak buat macam itu.

“Kita cuma nak bercakap pasal orang Melayu dan akan ikut peraturan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Perkasa di Kuala Lumpur hari ini.

Perhimpunan Proklamasi Orang Melayu yang sepatutnya menampilkan Dr Mahathir dibatalkan selepas tempahan dewan bagi acara itu diubah dua kali.

Bekas pengerusi Pejuang itu berkata tidak ada sebab perhimpunan itu dibatalkan kerana ia hanya bercakap mengenai nasib orang Melayu.

Beliau tidak menolak dalang di sebalik pembatalan arahan tersebut adalah perdana menteri sendiri.

“Negara ini perdana menteri yang bertanggungjawab. Tak ada perkara yang dibuat tanpa arahan daripada perdana menteri.

“Padahal saya tak ada kata apa yang menentang beliau,  jadi apa yang ditakutkan saya pasti ini arahan perdana menteri,” katanya.

Pada masa sama Dr Mahathir meminta Anwar menunjukkan bukti apabila menuduhnya anaknya menjadi hartawan dengan mendapat pelbagai projek semasa beliau menjadi perdana menteri.

“Sekarang timbul soal masa saya jadi perdana menteri saya kayakan anak saya, tunjuklah bukti. Anak saya nak masuk politik pun saya bagi.

“Kalau hari ini bukan sahaja individu tapi isteri anak semua dapat keistimewaan,” katanya.

Semalam ketika merasmikan Kongres Nasional Khas PKR, Anwar membidas pemimpin Melayu yang didakwanya memperbodoh rakyat dengan amaran komuniti itu berdepan masa depan gelap.

Katanya kenyataan memperjuangkan agenda Melayu itu hanya ditimbulkan apabila pemimpin itu tidak lagi berkuasa sedangkan pemimpin berkenaan hanya membolot harta untuk keluarga sewaktu berkuasa.

Namun Anwar tidak menyebut nama mana-mana individu. – 19 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen