Hadi tampil jadi saksi kes petisyen kerusi Marang


Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberikan keterangan lebih satu jam dalam perbicaraan petisyen PRU15 Parlimen Marang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac 2023.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini sebagai saksi bagi perbicaraan Petisyen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Marang.

Ahli Parlimen Marang itu, yang tiba di mahkamah pada 9 pagi sebagai saksi ketiga bagi pihak responden, memberikan keterangan lebih satu jam dalam prosiding yang dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hassan Abdul Ghani, yang bersidang sebagai hakim pilihan raya.

Ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, Hadi menzahirkan rasa syukur kerana perbicaraan hari ini berjalan lancar dan telah selesai menjawab semua soalan yang dikemukakan peguam kedua-dua pihak.

“Saya jawab semua soalan peguam. Insya-Allah kerana tidak melibatkan kesalahan undang-undang pilihan raya, lebih kepada perang saraf,” katanya.

Sementara itu, peguam Takiyuddin Hassan yang mewakili Hadi berkata pihak responden sudah selesai memanggil semua saksi bagi pihak mereka, dengan Hadi saksi yang terakhir.

“Tetapi pihak pempestiyen belum lagi selesai memanggil saksi bagi pihak mereka. Mereka kemukakan saksi (dan apabila selesai), kemudian kita akan berhujah,” katanya.

Turut hadir sebagai saksi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah, yang sebelum ini dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir memberi keterangan pada perbicaraan Khamis lepas.

Adun Bukit Payung itu hadir sebagai saksi bagi pihak pempetisyen.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lepas, menolak bantahan awal yang dikemukakan Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon Barisan Nasional.

Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.

Pada 3 Januari, Badan Perhubungan Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemamanm di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Ahmad Said berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa. – Bernama, 19 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen