DUA parti pembangkang Sabah sepakat untuk menjalinkan kerjasama politik bagi merampas 25 kerusi negeri dan lapan kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.
Parti Cinta Sabah (PCS), yang sedang dalam perbincangan mengenai pembahagian kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan, bersetuju untuk berkerjasama dengan Parti Anak Negeri (PAN), menjadikan mereka gabungan pembangkang ketiga di Sabah.
Kedua-dua parti itu menyasarkan 22 kerusi Kadazan Dusun Murut (KDN) dan tiga lagi kerusi campuran di Sabah, tanpa mengulas lanjut mengenai kerusi Parlimen.
Mengikut perjanjian kerjasama itu, PCS dan PAN tidak akan bertembung di kerusi yang sama dan kedua-dua parti akan bertanding menggunakan logo yang sama iaitu logo PCS.
PCS dipimpin oleh Wilfred Bumburing manakala PAN diketua Henrynus Amin. Kedua-dua mereka adalah bekas pemimpin Parti Bersatu Sabah.
Dalam satu sidang media, Bumburing berkata pintu rundingan dengan PH dan Warisan masih terbuka meskipun Warisan baru-baru ini bertindak menyerang PCS.
“(Presiden Parti Warisan Sabah) Shafie Apdal ada berkata sesuatu yang mencemar nama baik PCS… tetapi hari pengundian semakin hampir dan mungkin Shafie terlepas cakap,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian kerjasama politik itu di Kota Kinabalu, Sabah.
Shafie dalam satu acara di Penampang pada minggu lepas menyifatkan Bumburing sebagai “mesra BN” selepas perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara Warisan dan PCS menemukan jalan buntu.
Bumburing memberitahu The Malaysia Insight yang Shafie menawarkan PCS hanya enam kerusi sementara Warisan bercadang untuk bertanding di lebih 70% kerusi negeri.
Beliau berkata tidak ada satu parti pun yang boleh mendominasi parti-parti lain dan bertanding lebih 50% daripada kerusi yang dipertandingkan.
Sementara itu Amin berkata hal itu menyebabkan PCS dan PAN perlu menjadi lebih pragmatik dan akan berkompromi sekiranya perlu.
“Kami boleh bekerja dengan sesiapa pun… tetapi kami tidak suka diarah-arah. Kerana akhirnya, kita semua mahu mempertahankan kepentingan parti masing-masing,” kata Amin, merujuk kepada dominasi Warisan dalam soal pembahagian kerusi.
Amin turut menafikan yang mereka ditaja BN untuk memecah undi.
Bumburing juga kekal dengan pendiriannya untuk tidak kembali menyertai United Sabah Alliance (USA), yang disifatkannya masih mempunyai “simptom” sikap lama pembangkang.
Adun Tamparuli itu cuba menyatukan PCS dan USA pada April tahun lepas, namun ahli-ahlinya tidak bersatu untuk melakukan perubahan.
USA terdiri daripada beberapa parti antaranya Sabah Solidariti Tanah Airku (Sabah Star) yang dipimpin Dr Jeffrey Kititngan, Sabah Progressive Party (SAPP) yang dipimpin Yong Teck Lee, Parti Harapan Sabah yang dipimpin Lajim Ukin dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah yang dipimpin Mohd Arshad Abdul Mualap.
Kata Amin lagi SAPP bekerjasama dengan pergerakan pemisah seperti Sabah, Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), disamping USA yang dilihat anti persekutuan dan anti Malaya.
“Kami ada masalah perbezaan asas dalam aspek dasar. Kami tidak boleh menentang Perlembagaan Persekutuan, tetapi kami mahu menggantikan BN dan Umno dan mentadbir kerajaan negeri.
“Mereka juga datang dengan dasar-dasar mengarut seperti mahu memisahkan negeri ini kepada lapan bahagian,” katanya. – 16 Mac, 2018.
Komen