Kami tak murtadkan belia Islam, kata paderi gereja


Alfian Z.M. Tahir

Paderi Church of our Lady Lourdes berkata program Jom Ziarah yang melibatkannya dikritik di luar konteks. – Gambar Wikipedia, 18 Mac, 2023.

CHURCH of Our Lady Lourdes di Klang menafikan program Jom Ziarah yang dijadualkan berlangsung esok bertujuan untuk memurtadkan belia Islam.

Reverend Father Gregory Chan memberitahu The Malaysian Insight yang gereja itu biasa menerima pelawat dan pengunjung dari seluruh dunia sejak bertahun lamanya dan tersenarai sebagai tapak warisan oleh kerajaan negeri Selangor.

“Kami menerima pelawat yang beragama Kristian dan bukan Kristian sejak bertahun-tahun. Malah ada orang Islam yang melawat kami. Itu budaya kami dan budaya kami tidak menolak sesiapa yang datang melawat.

“Tujuan kami menerima pelawat bukan untuk menukar agama mereka. Tetapi kami mengalu-alukan mereka kerana semangat muhibah, keamanan dan persahabatan,” kata Chan.

Gereja itu terlibat dalam program Jom Ziarah, satu inisiatif Impact Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Acara itu yang dijadualkan berlangsung esok terpaksa dibatalkan selepas menerima kritikan pihak berkuasa agama Islam dan kumpulan sivil penganut Islam.

Chan berkata di bawah program itu, kumpulan belia terlibat juga turut melawat masjid dan Gurdwara Sahib tetapi lawatan tersebut tidak mencetuskan kontroversi.

“Bagaimanapun berkaitan gereja Katolik, laporan polis dibuat dan nama Church of Our Lady of Lourdes disebut.

“Dalam kesemua tiga hebahan di bawah program itu, soalan sama ditanya ‘tak pernah masuk masjid? Tertanya-tanya tentang Islam? Mahu belajar persamaan dan perbezaan antara agama? Jom Ziarah Masjid.

“Saya percaya perkara ini dipetik luar konteks,” kata Chan yang juga membuat laporan polis kerana dituduh memurtadkan belia Islam. – 18 Mac, 2023.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen