Hentikan cubaan cetus kebencian, kata DAP


Alfian Z.M. Tahir

PAS dan Bersatu sekarang mengamalkan politik tidak beretika dan bertanggungjawab, kata Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2023.

PAS dan Bersatu patut menghentikan politik tidak beretika dan tidak bertanggungjawab dengan menipu untuk mencetuskan kebencian dan ketakutan terhadap Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, kata Pengerusi DAP Nasional Lim Guan Eng.

Lim berkata DAP menyokong sepenuhnya amaran diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang tidak ada toleransi terhadap sebarang cubaan untuk mencetuskan sentimen keagamaan dan perkauman di negara ini.

“Saman sivil atau prosiding jenayah boleh diambil kemudian tetapi kerosakan awal yang menjejaskan perpaduan nasional dan mengancam keharmonian kaum daripada penipuan ini sukar hendak dikawal,” katanya.

Tambahnya lagi, Yeoh sendiri terpaksa membuat banyak laporan polis terhadap penipuan berkaitan dirinya yang dibuat pemimpin Bersatu dan PAS yang menjejaskan keharmonian kaum dan agama negara ini.

“Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed menipu yang Yeoh menggunakan kuasa menterinya untuk menolak hak Kelantan menganjurkan Sukan Malaysia 2024.

“Tetapi yang betulnya kerajaan negeri Kelantan sendiri yang bersetuju untuk menganjurkan Sukma 2028 untuk mendapatkan masa tambahan membuat persediaan dan membina fasiliti sukan di sana.

“Yeoh juga dituduh membenarkan program agama Kristian yang menyasarkan belia Islam, walaupun Yeoh menekankan yang tidak ada orang Islam terlibat dalam program itu, hanya belia bukan Islam. Malah Setiausaha Agung PAS Takiyuiddin Hassan juga buat hal dengan pelbagai tuduhan tidak berasas kepada Yeoh,” kata Lim lagi.

Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran tentang cubaan musuh politiknya untuk menganggu kerajaan semasa.

“Awak nak ancam kami dengan perhimpunan, siasatan korupsi, awak salah pilih perdana menteri.

“Saya tak akan tunduk dengan ugutan sebegitu. Awak mahu cuba rampas kuasa? Cuba lah tetapi ia tidak akan begitu mudah,” katanya kepada 1,300 perwakilan yang hadir pada Kongres Khas PKR di Shah Alam, hari ini. – 18 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen