Dialog antara agama bagus, tapi bukan di rumah ibadat, kata mufti


Alfian Z.M. Tahir

Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata wacana dialog agama di rumah ibadat boleh disalah tafsir dan dijadikan alat politik untuk mencetus kekacauan. – Gambar Facebook, 18 Mac 2023.

TIADA masalah untuk menganjurkan dialog antara agama di negara ini asalkan ia tidak diadakan di rumah ibadat, kata Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Agamawan itu berkata wacana dialog agama di rumah ibadat boleh disalah tafsir dan dijadikan alat politik untuk mencetus kekacauan.

“Saya tiada masalah dengan dialog antara agama. Malah saya sokong acara sebegini cuma isunya sekarang ia diadakan di gereja.

“Kalau orang yang pergi itu pegangan Islamnya kuat, saya tak terlalu bimbang. Yang merisaukan saya kalau sebaliknya. Sebagai mufti, orang yang seperti ini saya tidak galakkan pergi,” kata Wan Salim kepada The Malaysian Insight.

Beliau dalam pada itu menegaskan Islam menggalakkan toleransi, dan tidak salah bagi umat Islam menghadiri majlis dialog antara agama.

“Dalam Islam, kita diajar supaya menghormati agama lain. Umat Islam dilarang memperkecilkan serta memburukkan agama lain.

“Islam juga membenarkan orang bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing dan ini dibuktikan ketika Islam memerintah separuh dunia dari Afrika hingga ke sempadan China dahulu.

“Tiada siapa dipaksa untuk menukar agama kepada Islam dan semua orang dibenarkan mengamalkan agama masing-masing,” jelas Wan Salim itu.

Mufti itu mengulas kontroversi berkenaan acara program kunjungan ke masjid dan rumah ibadat bukan Islam anjuran Impact Malaysia di bawah Kementerian Beliau dan Sukan (KBS).

Semalam, PAS menyarankan program Jom Ziarah tidak wajar diteruskan kerana mungkin menimbulkan masalah jika matlamatnya gagal dicapai, yang mungkin meluaskan lagi jurang perbezaan antara kaum serta mengundang bantahan terbuka masyarakat.

Setiausaha PAS Takiyuddin Hassan juga menggesa agar program tersebut sekali-kali tidak menjadi program evangelisme dan juga tidak akan melibatkan belia Islam.

Dalam penjelasannya di Dewan Rakyat pada Selasa lalu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Program Jom Ziarah yang membabitkan kunjungan ke gereja oleh Impact Malaysia tidak melibatkan belia Islam.

Menteri itu menafikan dakwaan di media sosial bahawa beliau menggunakan program tersebut untuk menarik minat belia Islam kepada agama Kristian.

Salah dari segi politik

Ahli akademik Dr Mazlan Ali berkata inisiatif Yeoh untuk memupuk persefahaman antara agama di Malaysia boleh mencetus masalah kerana keterbukaan terhadap toleransi beragama di negara ini tidak seperti di Indonesia.

Beliau juga berkata Yeoh sepatutnya belajar daripada kesilapan yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Masalahnya ramai antara kita tidak faham mengenai isu ini. Berada di gereja boleh mencetus kegelisahan dan akan digunakan pihak lawan bagi menggambarkan kerajaan tidak menjaga kepentingan orang Melayu Islam di negara ini.

“Contohnya kita boleh lihat apa yang berlaku kepada PH pada 2018. Kerajaan pada masa itu dituduh tidak mempertahankan Islam dan pembangkang gunakan isu itu sebagai kempen untuk menentang PH dan mereka berjaya.

“Jadi secara politiknya ini bukan strategi yang betul. Kesilapan yang sama tidak sepatutnya diulangi,” katanya.

Tambah Mazlan, KBS sepatutnya memberi lebih tumpuan kepada isu lain, bukan menganjurkan dialog antara agama.

“Isu melibatkan agama perlu ditangani oleh mereka yang pakar dalam bidang itu. Biar orang lain uruskan hal ini, KBS fokus kepada peranan utamanya.”

Pandangan Mazlan itu dipersetujui Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar.

Yeoh tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berkenaan toleransi agama kerana ia boleh dimanipulasi, katanya.

“Ini sepatutnya tugas menteri agama dan Kementerian Perpaduan Negara.

“Kenyataannya boleh dimanipulasi pihak tertentu untuk melebarkan jurang antara rakyat. Kita semua tahu beberapa pihak tertentu akan menggunakan DAP sebagai ‘karung tinju’, jadi Yeoh sepatutnya lebih tahu perkara ini,” jelas Hisomuddin. – 18 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen