MORDIAH Abon sedang memandu kereta di Kuching pada 2017 apabila tiba-tiba seorang wanita sedang mendukung bayi melambaikan tangan memintanya berhenti.
Sebaik sahaja memberhentikan kereta, wanita itu kemudian menyerahkan bayi tersebut, Amar Akil Darwisy, yang ketika itu baru berusia tujuh hari, kepadanya.
“Saya tak kenal wanita itu, tetapi saya berhentilah juga sebab dia sedang dukung seorang bayi dan dia nampak betul-betul dalam kesusahan.
“Dia minta saya ambil anaknya sebab tidak mampu nak jaga, dan dia cuma tinggalkan kad bersalin. Pada kad itu tertera dia bersalin di Hospital Umum Sarawak,” kata Mordiah, 43, dari Kampung Selang, Asajaya kepada The Malaysian Insight.
Surirumah itu ditemui selepas majlis penyerahan dokumen pengenalan diri sementara bagi individu tanpa kewarganegaraan di Sarawak yang disampaikan oleh Premier Abang Johari Openg di Kuching petang tadi.
Mordiah berkata ibu kandung Amar dipercayai berasal dari Indonesia.
“Dipendekkan cerita, kami pun daftarkan kelahiran Amar dan ambilnya sebagai anak angkat,” kata Mordiah ditemani suaminya Awang Musa Awang Dillah, 46.
Menurut Mordiah, Amar akan mula bersekolah di Sekolah Chung Hua di Kampung Beliong, dan mereka kini tidak perlu risau mengenai pendaftaran sekolah kanak-kanak itu.
“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan Sarawak atas inisiatif ini.”
Amar antara 45 penerima Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan Sarawak (DSITKS) hari ini.
Kerajaan Sarawak pada 21 Julai 2022 setuju untuk melaksanakan inisiatif itu, dan permohonan telah dibuka pada 1 November lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Fatimah Abdullah yang ditemui pada majlis penyerahan dokumen sementara itu petang tadi berkata sebanyak 394 permohonan diterima setakat bulan ini.
Daripada jumlah itu, 175 permohonan memenuhi semua syarat kelayakan namun sebanyak 86 permohonan telah mendapat kelulusan Jabatan Premier Sarawak, katanya. Dan daripada 86 permohonan yang lulus itu, sebanyak 13 penerima sudah mendapat kelulusan status kewarganegaraan Malaysia.
Mereka yang layak memohon adalah individu berumur 21 tahun ke bawah yang dilahirkan di Sarawak, di mana salah seorang daripada ibu bapa kandung mereka ialah warganegara Malaysia pemastautin Sarawak.
Pemohon juga mesti memiliki sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak dan sudah memohon kewarganegaraan Malaysia. – 16 Mac 2023.
Komen