Pengarah filem Mentega Terbang terima ancaman bunuh


Alfian Z.M. Tahir

Nota ancaman bunuh yang ditampal pada kereta pengarah filem Mentega Terbang Khairi Anwar Jailani. – Gambar Twitter, 16 Mac 2023.

KECAMAN ke atas filem kontroversi Mentega Terbang bertukar ganas apabila pengarah dan para pelakon menerima ancaman bunuh pagi ini dan kenderaan mereka dirosakkan.

Pengarahnya Khairi Anwar Jailani memberitahu The Malaysian Insight, keretanya dirosakkan dengan simbahan cat merah dan hitam oleh pelaku yang tidak dikenal pasti.

Kereta salah seorang pelakonnya Arjun Thanaraju pula bukan sahaja disimbah cat tetapi turut dirosakkan dengan asid, kata beliau.

“Apa yang berlaku amat mengecewakan dan satu serangan fizikal. Ada pihak tidak setuju dengan Mentega Terbang dan bertindak dengan keganasan,” katanya.

Beliau berkata serangan itu disedari berlaku pada kira-kira jam 5 pagi ini dan beliau turut menemui nota dengan ancaman bunuh di kenderaan tersebut.

“Kami memaklumkan para pelakon lain dan mereka kini bimbang dengan keselamatan diri. Kami semua rasa ada orang memerhatikan dan perlu berjaga-jaga.

“Anggota keluarga kami juga bimbang, terutama isteri saja. Kami semua tidak selesa,” kata pengarah filem berusia 30 tahun itu.

Khairi berkata beliau membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Kajang manakala Arjun membuat aduan di Ampang Jaya.

Tambahnya, nota di keretanya membawa ancaman bunuh yang mengerikan.

Menurutnya nota itu menyatakan ancaman “Lu dan family mesti mati”, “Islam pasti bangkit”, dan “Mentega Terbang jangan cabar agama Islam”.

Polis sudahpun mengambil sampel cat dan memeriksa bahan bukti di kawasan serangan di rumahnya, kata beliau.

Kereta salah seorang pelakon filem Mentega Terbang dirosakkan dengan asid. – Gambar Twitter, 16 Mac 2023.

Serangan tersebut menerima kecaman Menteri Komunikasi Dan Digital Fahmi Fadzil yang menganggapnya melampaui undang-undang.

“Saya kecam sekeras-kerasnya ugutan ini serta sebarang tindakan di luar batas undang-undang.

“Rakyat Malaysia mesti patuh undang-undang, jangan ambil tindakan yang boleh merosakkan harta benda, mengancam nyawa,” katanya dalam kenyataan di Twitter.

Sementara itu sumber polis di Kajang mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Khairi, Arjun dan beberapa pelakon dalam filem berkenaan menjadi tumpuan siasatan polis Bukit Aman sejak seminggu lalu.

Peguam Zaid Malek mewakili Khairi dan Arjun berkata, mereka antara lain disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan suasana tidak harmoni.

Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atas dakwaan menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

Selain itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Siasatan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mendapati kandungan filem yang menyentuh perbezaan agama itu bertentangan akidah Islam.

Filem itu disiarkan pelantar penstriman Viu sejak 2021, namun dibuang dari siaran sejak 27 Februari lalu ekoran kontroversi yang timbul. – 16 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen