Mat rempit dan politikus


Hishamuddin Rais

SAYA amat yakin mat rempit dan politikus di Malaysia ini sama. Tidak ada beza antara politikus dari PKR, Bersatu, PAS, United Malaya National Organisation atau pun DAP dengan mat rempit. Semua sama.

Mat rempit dan politikus adalah sama?

Apakah tulisan ini berniat untuk menghina mat rempit dengan menyamakan mereka dengan spesis yang dikenali sebagai Politikus.

Sabar dahulu. Ini bukan satu penghinaan. Ini hanya sebagai contoh perbandingan. Justeru, jangan gopoh. Saya ada hujah yang tuntas.

Kenyataan saya ini saya pasak dengan hujah yang munasabah. Hujah saya lebih meyakinkan daripada hujah peguam Najib yang cuba menutup kes Najib mencuri duit 1MDB.

Hujah saya ini berasaskan daripada pemerhatian yang rapi. Dalam jargon akademik: ini kajian empirikal. Sang Penulis memerhati dan mengalami perkara itu berlaku.

Saya selalu nampak polis dan JPJ mengadakan sekatan jalan raya. Beberapa kali saya ternampak sekatan dijalankan di bawah laluan LRT Bangsar. 

Kadang-kadang saya ternampak sekatan polis di Jalan Syed Putra tidak jauh dari Istana Negara lama.

“Ini cari  duit kopi.” Ini komen yang saya dengar daripada pemandu Grab yang saya langgan. Tapi tulisan ini bukan hal mata-mata cari duit kopi. Itu dalam kitab lain.

Sekatan jalan raya ini saya perhatikan menumpukan kepada yang bermotosikal. Yang berMercedez, yang berJaguar atau yang berHonda amat jarang ditahan. Mereka meluncur pergi.

Yang berProton pun tidak diganggu gugat.

Yang sangkut dan diperiksa rapi oleh polis, polis trafik atau pegawai JPJ hanyalah yang menunggang motor. Majoritinya mat rempit.

Saya cukup yakin pihak polis akhirnya akan menemui satu kesalahan daripada mat rempit ini.

Kalau pun ada lesen sah tapi cermin belakang tak ada. Ini salah. Kalau lesen ada, cermin belakang ada, didapati tayar motor sudah licin. Ini satu kesalahan. 

Kalau tayar motor baru bertukar, didapati pula asap hitam keluar. Kalau asap bukan masalah, tetiba lubang asap pula diubah suai.

Hakikatnya: kalau nak dicari salah pasti akan ditemui kesalahan. Mat rempit ini akan bersalah. Ada seribu satu macam kesalahan yang boleh diwujudkan.

Ini sama dengan apa yang telah, sedang dan akan dihadapi oleh Sang Politikus. Ini sama dengan para YB. Ini sama dengan pemimpin parti atau dengan para menteri.

Mat rempit berhadapan dengan Polis dan JPJ. Manakala para politikus berhadapan dengan SPRM.

Peganglah mana-mana YB. SPRM siasatlah mana-mana menteri. Lakukan sama seperti mat rempit dengan polis, pasti akan ditemui kesalahan.

Bila menteri atau bekas menteri dipegang oleh SPRM pasti ada kes. Pasti boleh didakwa di mahkamah. Ada kes rasuah. Ada kes ubah wang haram. Dan ada kes salah guna kuasa.

Peganglah Hadi, peganglah Anwar, pegang Tok Mat, pegang Mat Sabu, pegang Hamzah, pegang Saifuddin, pegang Daim, pegang Mahathir, pegang Sanusi, pegang Azmin, pegang Anthony Loke, pegang Nga Kor Ming, pegang Zafrul, Takiyudin dan Tuan Ibrahim, dan dan dan… – pasti boleh dicari kesalahan mereka.

Adam Adli, Lee Kang, Nik Nazmi, Young Syefura. Shahrizan dan para YB yang baru menang atau dapat pangkat – mereka ini macam anak burung baru tumbuh bulu pahat. Masih belum pecah dara.

Kalau hendak seribu dalil. Kalau tak hendak seribu dalih.  

Cabut bulu sehelai helai pasti akan terjumpa kesalahan. Macam motor mat rempit ada seribu satu macam boleh didakwa.

Zahid, Syed Saddiq, Guan Eng, Bung Moktar dan Isa Samad adalah bukti terbaik untuk memperkukuh hujah saya. Semua sedang menunggu jatuh hukum.

Najib adalah bukti tersohor yang kini dalam penjara. Najib masih menghadapi banyak kes mengubah wang haram, salah guna kuasa dan menerima rasuah.

Ini hakikat.

Apa yang sedang  berlaku dan sedang kita saksikan ialah kes Muhyiddin. Untuk saya, pada hemat saya, apa yang sedang berlaku ini adalah watak dan ciri politik mengundi. Atau dalam Bahasa Inggeris: electoral politic.

Pada pandangan saya politik pilihan raya amat susah dan mungkin tidak akan dapat  dipisahkan daripada aktiviti salah guna kuasa, rasuah atau tumbuk rusuk.

Saya telah pernah menulis bab di portal ini.

Untuk memahami hujah mat rempit ini saya bawa kembali kepada sejarah kes Harun – bekas Menteri Besar Selangor yang ditahan pada tahun 1977. 

Harun didapati bersalah menerima rasuah dan salah guna kuasa di Hong Kong Shanghai Bank.

Dalam kes Harun ini saya terlibat secara tidak dirancang. Ini kerana pada tahun 1974 saya ialah Setiausaha Agong Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

PMUM menganjurkan debat dengan Harun tentang tanah balak di Bangi.

Ketika itu hutan dara tapak Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi baru dibuka. Pembalakan di Bangi ini dikatakan diberikan kepada kroni Datuk Harun.

Maka kes membalak di Bangi dibesar-besarkan di media. Malah saya kali pertama diberi muka hadapan tajuk berita oleh Mingguan Malaysia – menduku Harun.

Saya yang anti United Malays National Organisation terus menabur minyak pada api yang sedang membakar. Saya lakukan ini secara sedar.

Tun Razak melihat Harun sebagai pencabar dan musuh politik. Dia membenarkan media membuat laporan terbuka mengutuk Datuk Harun.

Apa yang hendak apa sampaikan di sini ialah kuasa politik, kuasa daulah – state and political power – dan jentera daulah boleh digunakan untuk memukul mati lawan politik.

Pemisahan antara YB pembuat hukum dengan pihak yang mengendalikan hukuman selalu diwar-warkan sebagai dua badan bebas.

Bebas tahi kucing.

Malaysia negara semi feudal, maka semua boleh diatur, semua boleh disusun. Sudah masuk penjara boleh keluar dari penjara untuk mengentot kekasih atau jumpa bini muda. Semua boleh disusun.

Tidak yakin dengan apa yang saya tulis maka sila rujuk dengan Lebai Google kes Abdullah Ang. Ini bukan penglipur lara daripada Hishamuddin Rais. Ini fakta bukan auta.

Kemudian kita tengok pula babak sejarah bagaimana kuasa daulah digunakan oleh Ghazali Shafie, menteri dalam negeri pada zaman Tun Razak.

Lihat bagaimana ISA digunakan untuk menangkap Abdullah Majid, Abdullah Ahmad dan Abdul Samad Ismail pada tahun 1976.

Tiga Abdul ini adalah sosok yang amat setia kepada Tun Razak.

Menteri KDN Ghazali Shafie ini bernafsu besar. Dia memasang niat untuk menjadi Perdana Menteri. Penyokong dan panglima setia Tun Razak wajib diISAkan untuk memastikan kuasa datang ke pangkuan.

Jangan lupa satu lagi kes klasik di mana kuasa daulah dan jentera kerajaan boleh digunakan untuk membunuh musuh politik.

Kes ini – pada bulan Julai 1981, tiga hari sebelum 16 Julai – hari Mahathir mengangkat sumpah untuk menjadi Perdana Menteri keempat. 

Pada hari itu Ghazali Shafie menangkap Siddiq Ghouse, setiausaha politik Mahathir atas tuduhan ejen kepada Rusia.

Kes-kes yang saya paparkan memperlihatkan bagaimana kuasa dan jentera daulah boleh dan digunakan untuk memukul musnah musuh politik.

Jangan sesekali lupa bahawa Zimbabwe dieja dengan Z. Manakala Malaysia dieja dengan M. Dua-dua ini adalah sama – negara dunia ketiga.

Penangkapan dan pendakwaan ke atas kes rasuah Muhyiddin ini wajib disokong. Melawan rasuah adalah wajib dan betul.

Langkah kerajaan Pakatan Harapan melawan rasuah ini wajib dialu-alukan. Kalau tak sekarang bila lagi. Ketika berkuasa sila gunakan kuasa untuk melawan rasuah.

Jangan dah hilang kuasa baru heboh nak lawan rasuah. Ini sindrom polis pencen. Dah pencen baru berani kata Menteri ini rasuah, menteri itu tibai bini orang, atau menteri itu ada simpan jambu di Jakarta.  

Cis! Buat kerja lawan rasuah bila ada kuasa. Sudah tak ada kuasa shut up.

Apa yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim ini betul. Saya tidak tahu sama ada dia pernah membaca buku The Art of War oleh Sun Tzu (594-496 BC).

Walau apapun daripada apa yang Anwar lakukan dalam kes tangkapan Muhyidin ini betul-betul mengikut ajaran dan taktik perang Sun Tzu.

Sun Tzu mengajar: cara terbaik untuk bertahan ialah menyerang.

Maka Anwar menyerang Muhyidin dulu. Anwar tahu kerajaan Pakatan hari ini adalah kerajaan Titah Raja-Raja Melayu. Anwar tahu tanpa Raja Melayu kerajaan PMX ini akan runtuh.

Justeru bukan Muhyidin saja diserang. Awal wahid, Wan Saiful gedebe Bersatu dan orang kuat Muhyidin juga diserang. 

Malah Haji Hadi juga ditakut-takutkan dengan siasatan mata-mata.

Saya beri A1 kepada Anwar Ibrahim. Orang Belgium kata ‘chapeau!’.

Haji Hadi daripada apa yang saya difahamkan tidak begitu fasih dalam bahasa Inggeris. Saya tidak tahu sama ada Hadi ada keupayaan membaca kitab Sun Tzu ini atau tidak.

Pandangan empirikal saya merumuskan Hadi tidak membaca kitab ini. Saya berkata demikian kerana apa yang dilakukan oleh Hadi betul-betul bercanggah dengan taktik perang ajaran Sun Tzu.

Hadi dengan bangga lagi angkuh berlabun PMX ini akan jadi XPM. “...kerajaan ini boleh dijatuhkan dalam masa terdekat,” Hadi berkata. Amin.

Sebenarnya ini satu kesilapan taktik.

Sun Tzu mengajar: Serang musuh ketika musuh tidak menyedari.

Hadi yang berlabun awal. Ini memberi masa untuk Anwar menggerakkan persediaan. Kini Anwar tahu apa yang tersirat dalam kata-kata Hadi.

Dari ucapan Muhyiddin ketika didakwa umum diberitahu bahawa SPRM diarah dengan segera untuk melakukan pendakwaan ke atas Muhyiddin.

Dipercepatkan siasatan, cepat tahan dan cepat dakwa.

Siapa beri arahan ini tak perlu saya tuliskan. Tahu sama tauge sudah memadai.

Malah kata-kata Muhyiddin ini terbukti betul apa bila ada beberapa pegawai SPRM yang tidak bersedia malah dirasuah untuk tidak menyiasat kes Muhyidin.

Jangan lupa satu ketika dulu Azam Baki kepala SPRM diduku oleh Rafizi. Malah Pakatan Harapan ketika pembangkang mahu Azam Baki dilucutkan dari jawatan

Kini pastilah Azam akan menjadi pegawai yang amat setia kepada kerajaan Pakatan.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah semua yang berlaku di hadapan mata kita semua ini sedang mewujudkan persepsi.

Politik ialah persepsi.

Umum dan orang ramai membaca bahawa Anwar melakukan tidakkan menahan Muhyiddin kerana Hadi sedang merancang untuk menggulingkan kerajaan.

Langkah Hadi sedang diatur.

Malah untuk menambah cuka pada lawak: Hadi dipanggil ke Bukit Aman.  

Haji Hadi Tok Guru pemimpin parti Islam PAS akan dipanggil kerana dilaporkan sedang merancang projek menggulingkan kerajaan PMX.

Kah kah kah.

Di sini saya wajib ketawa hingga terkentut kerana PDRM terlupa tugas suci parti pembangkang ialah untuk menggulingkan kerajaan. Semua pembangkang kiri atau kanan mahu menjatuhkan kerajaan.

Anwar nak jatuhkan Mahathir. Lim Kit Sing nak jatuhkan Hussein Onn. Jaffar Onn opps… silap, Onn Jaafar nak gulingkan Tunku. Asri Muda nak jatuhkan Tun Razak. Syed Husin Ali nak jatuhkan Razak, Husin Onn dan Mahathir.

Menggulingkan kerajaan adalah tugas utama parti pembangkang. Jika tidak lebih baik YB dari parti pembangkang ini menjual rangka ayam goreng di pasar malam. Kah kah kah.

Jelas politikus ini sama macam mat rempit. Motor yang ditunggang oleh mat rempit pasti akan membawa kesalahan.

Apa akan jadi dengan Muhyiddin? Apakah Hadi akan jadi takut dan Langkah Hadi akan dibatal?

Politikus juga memiliki perangai seperti mat rempit. Lihat mat rempit meniarap di atas motor. Perbuatan berani mati.  

Politikus tidak meniarap atas motor tapi akan terus berani menerima duit sogokan. Kalau tidak ada duit, akan mati kering tak ada modal untuk berkempen. Amin.

Politikus yang tak terima rasuah, yang tidak salah guna kuasa hanya politikus yang sudah wafat. Amin. – 16 Mac, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen