Jangan berundur TMJ, kata FAM


Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam mengejutkan peminat bola sepak negara apabila mengumumkan meletak jawatan selaku presiden FAM kurang setahun selepas menjawat jawatan penting itu. – Gambar fail AFP, 16 Mac, 2018.

TUNKU Ismail Ibrahim akan diminta terus kekal sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kata Setiausaha Agung FAM Hamidin Amin.

Hamidin dan ahli exco persatuan dalam perjalanan ke Johor Bharu bagi mengadap Tunku Ismail.

Putera Mahkota Johor itu mengejutkan peminat bola sepak negara malam tadi apabila mengumumkan pengunduran diri baginda daripada FAM kurang setahun menjawat jawatan penting itu.

Tunku Ismail yang lebih mesra dengan panggilan TMJ itu mengatakan sudah tiba masanya baginda berundur selepas pasukan kebangsaan jatuh tiga anak tangga dalam ranking dunia.

“Baru-baru ini ranking pasukan kebangsaan telah jatuh tiga anak tangga dan ini merupakan satu kegagalan yang amat besar! 

“Oleh itu, saya rasa presiden FAM harus letak jawatan,” kata Putera Mahkota Johor itu.

Tunku Ismail juga menyenaraikan pencapaiannya selaku presiden FAM, mengatakan baginda sudah menguruskan penstrukturan bola sepak tempatan supaya tidak terlalu bergantung kepada pembiayaan kerajaan.

Hamidin dalam satu kenyataan pagi ini berkata sejak Tunku Ismail menjadi presiden FAM Mac tahun lepas, baginda sudah banyak berbakti kepada bola sepak Malaysia.

“Baginda bekerja keras untuk menarik penaja dan kerana usahanya, semua pasukan menerima geran antara RM1 juta hingga RM3 juta untuk musim sekarang,” kata Hamidin.

Setiausaha agung persatuan bola sepak negara itu turut mengatakan di bawah kepimpinan Tunku Ismail, pasukan bawah 23, 19 dan 16 tahun berjaya mewakili negara di peringkat tertinggi pertandingan bola sepak Asia.

Beliau juga yakin yang ranking pasukan negara akan bertambah baik di bawah pengurusan jurulatih baru, Tan Cheng Hoe yang akan bertanggungjawab menguruskan perlawanan seterusnya menentang Mongolia dan Lebanon.

“Tunku Ismail adalah satu-satunya individu, ketika ini, yang benar-benar layak memimpin FAM,” kata Hamidin lagi. – 16 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen