PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya akan diperkenalkan semula apabila pendapatan minimum rakyat mencapai ambang “munasabah”.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini yang negara tidak bersedia untuk cukai seperti itu sekarang walaupun percaya GST adalah sistem percukaian yang cekap dan telus.
“Tahap pendapatan rakyat masih rendah. Terlalu ramai masih miskin tegar dan dalam kategori B40,” katanya menjawab soalan Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang-PN).
Beliau juga menolak yang ia boleh dilaksanakan dalam tempoh enam bulan atau setahun.
Perdana menteri berkata pendapatan rakyat perlu dinaikkan terlebih dahulu ke tahap sewajarnya sebelum cukai itu diperkenalkan semula.
Beliau berkata akan terus mengenakan cukai golongan berada dan mengekang pengelakan cukai, pembaziran dan rasuah dalam usaha untuk mengurangkan hutang negara.
Mengenai Kertas Pandora, Anwar berkata pengelakan cukai tidak akan diterima. Beliau berkata sudah mengarahkan siasatan terhadap rakyat Malaysia yang dinamakan dalam pendedahan itu.
“Kita tidak sepatutnya membiarkan mereka melarikan diri dengan wang itu ke luar negara. Jika anda mengelak daripada membayar cukai atau mencuri dana awam, bayar balik.
“Pulangkan wang itu.” – 14 Mac 2023.
Komen