Segera gubal akta dana politik, gesa Tuan Ibrahim kepada kerajaan


Diyana Ibrahim Ravin Palanisamy

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerajaan perlu segera melaksanakan Akta Pendanaan Politik untuk menangani isu melibatkan sumbangan dana kepada parti politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 14 Mac 2023.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa kerajaan segera melaksanakan Akta Pendanaan Politik sebagai penyelesaian terbaik untuk menangani isu melibatkan sumbangan dana kepada parti politik

Beliau berkata perlu ada garis panduan yang jelas berhubung perkara itu memandangkan setiap parti politik memerlukan dana bagi menguruskan parti mereka.

Tuan Ibrahim mengulas pertuduhan yang dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu di mahkamah minggu lalu dan semalam.

“Saya ingat ada benda besar di sebalik (kes pendakwaan Muhyiddin) tapi sekarang dah jadi kes mahkamah… tapi tak apalah kita pun tak nak campur, cuma saya tengok banyak pertuduhan itu melibatkan dana disalurkan parti politik.

“PAS antara parti yang awal hantar memorandum supaya diwujudkan Akta Pendanaan Politik, jadi untuk kita, kena selesai punca.

“Kita fikir sumbangan kepada parti ini berlaku kepada semua parti dan bila orang nak bagi takkan kita nak larang, kerana ia bukan sumbangan peribadi, tapi itu soal mahkamah… jadi saya tak sebutlah,” katanya semasa wawancara eksklusif dengan The Malaysian Insight, semalam.

Tuan Ibrahim berkata beliau pernah mencadangkan perkara itu dalam memorandum yang pernah dihantar kepada kerajaan termasuk memberi cadangan untuk menggubal undang-undang seperti yang dilaksanakan di Turki, dan New Zealand.

“Macam di Turki, New Zealand mereka buat dana itu bergantung jumlah undi yang parti dapat. Katakan parti itu dapat undi sejuta maka mereka dibayar 3 dolar bagi satu undi. 

“Jadi setiap parti bergantung kepada jumlah yang diperolehi dan kerajaan menyediakan dana untuk itu,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata garis panduan yang boleh dipertimbangkan kerajaan termasuk membenarkan parti politik terlibat dalam perniagaan.

Akta itu juga boleh diperluaskan bagi memantauan sumbangan dana politik dari negara luar, katanya.

“Tapi kita kena tengok juga kalau beri kebenaran berniaga bagaimana pula dengan parti politik kerajaan yang mungkin akan timbul konflik peribadi. Sebab itu kalau nak beri parti menjalankan perniagaan kena tengok bagaimana kaedah pelaporan mesti telus.

“Mesti kena audit daripada sumber mana dapat, kerana itu saya setuju apa yang disebut Muhyiddin kalau nak siasat dana politik kena siasat semua termasuk parti Umno, DAP sebab semua parti ada sumbangan dana politik,” katanya.

Semalam Muhyiddin dikenakan satu lagi pertuduhan, dan yang ketujuh baginya, di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Beliau didakwa mengubah wang haram berjumlah RM5 juta yang diterima daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun AmBank milik Bersatu.

Minggu lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri Malaysia dan presiden Bersatu untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta.

Beliau juga didakwa dengan dua pertuduhan, sebagai presiden Bersatu, menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta.

Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Mengulas mengenai pendakwaan terhadap Muhyiddin, Tuan Ibrahim berpendapat ia adalah satu bentuk serangan untuk melemahkan PN.

Beliau menegaskan umum mengetahui PN dikenali sebagai gabungan berintergiriti dan bersih, berbanding gabungan politik lain, dan imej itu yang cuba dirosakkan oleh kerajaan sekarang.

“Bagi saya pendakwaan terhadap Muhyddin itu adalah untuk merosakkan integriti PN,” katanya. – 14 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen