Setiausaha politik menteri kewangan buat laporan polis terhadap Muhyiddin


Presiden Bersatu didakwa menerima RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun parti pada 7 Januari 2022. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Mac 2023.

SETIAUSAHA politik kepada menteri kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, berhubung kenyataan mengenai perancangan pendakwaan terhadapnya serta campur tangan pihak atasan menggunakan agensi penguat kuasa bagi mencapai tujuan politik.

Bercakap kepada media selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini, Kamil berkata laporan berkenaan dibuat selepas mendapati kenyataan Muhyiddin bersifat fitnah yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar, perdana menteri menyatakan kerajaan hari ini yang dipimpinnya tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan atau tindakan yang diputuskan pihak berkuasa.

Kamil berkata SPRM berhak melakukan siasatan terhadap mana-mana individu selaras dengan status agensi itu sebagai sebuah badan bebas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan pihaknya akan menjalankan siasatan.

Pada 10 Mac, Muhyiddin dilaporkan menyifatkan pendakwaan ke atas dirinya adalah suatu bentuk pemangsaan politik yang terancang dengan menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik.

Pada 10 Mac itu, bekas perdana menteri itu dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu.

Beliau mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai perdana menteri Malaysia dan presiden Bersatu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai presiden Bersatu menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta.

Hari ini, Muhyiddin didakwa atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta, dan beliau mengaku tidak bersalah. – Bernama, 13 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen