PKR bakal buat laporan polis terhadap Muhyiddin


Alfian Z.M. Tahir

Presiden Bersatu didakwa menerima RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun parti pada 7 Januari 2022. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Mac 2023.

TIMBALAN Ketua Pemuda PKR Muhammad Kamil Abdul Munim akan membuat laporan polis terhadap Muhyiddin Yassin hari ini kerana mendakwa tuduhan rasuah terhadapnya dibuat “oleh parti paling berkuasa dalam pentadbiran negara”.

Setiausaha politik kepada menteri kewangan berkata Muhyiddin membuat kenyataan itu selepas dibebaskan dengan ikat jamin pada Jumaat.

Bekas perdana menteri itu didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram mencecah RM232.5 juta. Pemimpin Bersatu itu menafikan kesemua enam pertuduhan.

Muhyiddin kemudian memberitahu akhbar pertuduhan diputuskan walaupun sebelum siasatan selesai.

“Mereka menggunakan agensi penguatkuasaan sebagai alat untuk mencapai matlamat politik mereka.

“Jelas sekali, pendakwaan adalah satu bentuk pemangsaan politik yang dirancang. Ia adalah satu penganiayaan politik yang teratur,” kata Muhyiddin selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pagi ini, presiden Bersatu itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan baharu pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen di Shah Alam.

Berdiri di hadapan Hakim Rozilah Salleh, ahli Parlimen Pagoh itu didakwa melakukan pengubahan wang haram RM5 juta melalui akaun parti.

Beliau didakwa mengikut seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – 13 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen