PM Anwar, segerakan agenda gubal akta dana politik


G Manimaran

Pakatan Harapan, yang diketuai Anwar Ibrahim berjanji akan memperkenalkan akta pendanaan politik bagi membendung gejala politik wang dan penyelewengan dana seperti 1MDB dan skandal SRC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac 2023.

DALAM tulisan dua minggu lalu saya telah menyentuh sedikit mengenai undang-undang dana politik dan pilihan raya. Satu kerangka perundangan yang diperlukan segera.

Dalam landskap pilihan raya negara dua perkara teramat penting telah lama menjadi perhatian. Pertama, keperluan mengekang perbuatan melompat parti. Selepas lebih tiga dekad desakan demi desakan dan tuntutan demi tuntutan, di sebalik pelbagai alasan kononnya tidak boleh menggubal undang-undang sedemikian, akhirnya Parlimen telah merealisasikan keperluan itu pada Julai 2022. Hampir kesemua wakil rakyat telah menyokong undang-undang itu. 

Daripada tidak boleh, sambil mengatakan bertentangan dengan semangat kebebasan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, ia akhirnya diluluskan oleh institusi suci dan murni itu. Di peringkat negeri, masih ada beberapa negeri yang belum meluluskan peruntukan tersebut.

Hasil akhir yang kita lihat pada hari ini menunjukkan bahawa undang-undang sedemikian yang diperlukan boleh digubal jika ada iltizam politik.

Perkara kedua ialah satu kerangka perundangan mengenai sumbangan atau dana politik. Banyak pihak telah membangkitkan perkara tersebut. Ia telah lama dibangkitkan. Mereka yang pernah menjadi pembangkang dan kemudian menjadi kerajaan juga telah membawa idea itu. 

Malah pihak yang menjadi kerajaan, sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, mengatakan bahawa mereka telah menjadi mangsa kerana tiada undang-undang yang mengatakan “tidak boleh menerima” sumbangan atau dana daripada mana-mana individu, syarikat dan organisasi. Kenyataan itu menjadi bahan berita sekali lagi pada minggu lalu.

Macam-macam alasan diberikan.

Malah, pada awal minggu lalu, Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said memberitahu Parlimen bahawa kerajaan akan merujuk Akta Pendanaan Politik kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bakal ditubuhkan dalam masa terdekat. 

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata perincian berhubung Akta Pendanaan Politik juga akan diperincikan secara bertulis. Sebelum ini, Anwar memberi jaminan kerajaan perpaduan pimpinan beliau komited dalam meneruskan rancangan mewujudkan Akta Pendanaan Politik bagi menambah baik landskap politik negara. Jelas beliau, akta itu akan diwujudkan selepas pihak berkaitan meneliti perkara tersebut sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen.

Manifesto Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin hanya menyebut bahawa pihaknya akan menggubal akta atau peraturan pendanaan politik, khususnya bagi menghalang penerimaan sumbangan dana politik daripada luar negara bagi menjaga kedaulatan negara. Muhyiddin, residen Bersatu, adalah perdana menteri kelapan selama 17 bulan. 

Dalam pada itu, salah satu daripada 10 sebab mengapa mesti pilih Gabungan Parti Sarawak (GPS) ialah ia memfokus kepada “tadbir urus kerajaan yang cekap, berintegriti dan profesional.” 

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) pimpinan Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan menaik taraf Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai sebuah suruhanjaya bebas bagi mengukuhkan etika dan integriti institusi awam dan masyarakat. Menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen berkenaan cadangan dan tapisan jawatan-jawatan utama negara seperti ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan gabenor Bank Negara.

Tawaran Pakatan Harapan, yang diketuai oleh Anwar, menjanjikan akan “memperkenalkan akta pendanaan politik bagi membendung gejala politik wang dan penyelewengan dana seperti 1MDB dan skandal SRC.” 

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pimpinan Dr Mahathir Mohamad ketika itu juga menggariskan janji untuk kewujudkan akta pendanaan politik, di samping akta pengurusan parti politik. Malah ia juga mencadangkan pembentukan Suruhanjaya Diraja Integriti dan Pembanterasan Rasuah.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-15 hanya dua parti atau gabungan yang menjanjikan komitmen mereka akan menggubal undang-undang sedemikian jika menerajui kerajaan.

Mengambil kira perkembangan mutakhir sejak dua minggu lalu sudah sampai masa bagi negara dengan segera menggubal satu akta berkaitan dengan pembiayaan politik, termasuk juga ketika pilihan raya.

Sebenarnya rakyat bersimpati dengan nasib yang dilalui ahli-ahli politik dan parti mereka, terutama mereka yang dikenakan tuduhan di mahkamah. Apabila ada kes berkaitan penerimaan dana dan sumbangan politik, mereka terikat antara ketiadaan dan keperluan diadakan undang-undang sedemikian. Mereka seolah-olah menjadi mangsa kepada keadaan ketiadaan undang-undang sedemikian.

Sampai bila kita hendak bercakap tiada perundangan asas untuk dijadikan panduan oleh parti-parti politik. Hendak dimasukkan ke dalam akaun peribadi satu kesalahan. Hendak dimasukkan ke dalam akaun parti juga satu kesalahan. Negara ada undang-undang berkaitan suapan, rasuah dan salah guna kuasa. Ahli-ahli politik berada di mana? Semakin ramai ahli politik dibawa ke muka pengadilan. Sempadan bagi mereka belum jelas, masih kabur. 

Kita ada Akta Pertubuhan, tetapi tidak jelas mengenai penerimaan dana politik. Kita ada Akta Kesalahan Pilihan Raya, tetapi ia terhad kepada beberapa kesalahan ketika pilihan raya. Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memberikan definisi yang luas.

Jawapannya, kita perlu ada akta khusus mengenai sumbangan politik.

Ahli politik dan parti mereka mempunyai tanggungjawab politik untuk bertindak jujur, adil dan berintegriti.

Bermakna kita perlu meletakkan noktah ke atas polemik mengenai undang-undang pembiayaan politik.

Untuk berlaku adil kepada semua, kerajaan pimpinan Anwar perlu membawa rang undang-undang pembiayaan politik ke Parlimen dengan secepat yang mungkin untuk diterima pakai demi kepentingan semua. Perkara itu perlu dijadikan agenda utama sidang parlimen akan datang iaitu Julai ini. Ataupun jika perlu panggillah sidang khas Parlimen, dan pastinya akan dipersetujui oleh semua parti.

Jangan menangguhkan keperluan terdesak ini demi manfaat kesemua pemegang taruh.

Jika dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan, rakyat tahu siapa yang menyokong dan siapa yang menentang. Kita tidak mahu ada yang menuding jari menyalahkan satu sama lain.

Jika kita meletakkan harapan agar wakil rakyat yang harus menjaga hak dan kepentingan rakyat terutama pengundi mereka, kini masa untuk kita – menjadi wakil kepada wakil rakyat – menyediakan satu kerangka perundangan bagi menjaga hak, kebajikan dan kepentingan wakil rakyat dan parti-parti politik dalam soal penerimaan dan penggunaan dana politik.

Rakyat perlu terus mendesak bagi penetapan agenda dan tempoh masa penggubalan undang-undang ini. Umpama “kita jaga kita”, slogan yang dipromosikan ketika musim pandemik Covid-19. – 13 Mac 2023. 

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen