PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi bersedia untuk mengawal sepenuhnya parti berasaskan Melayu terbesar itu dengan pemimpin yang sealiran dengannya memperoleh kemenangan dalam pemilihan parti untuk dua sayap utama, kata penganalisis politik.
Penganalisis berkata kemenangan Noraini Ahmad dalam mengekalkan jawatan ketua sayap wanita serta Dr Muhamad Akmal Saleh menjadi ketua Pemuda Umno, membuktikan Zahid berjaya mengukuhkan lagi kedudukannya dalam parti.
Trend ini juga akan diikuti dalam pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan ahli majlis tertinggi.
“Kemenangan dalam dua sayap utama parti itu menunjukkan kumpulan yang menyokong kepimpinan parti khususnya Zahid menang.
“Ini juga memberi kelebihan kerana sokongan dalam sayap wanita dan pemuda akan diterjemahkan untuk menyokong kumpulan presiden dalam pertandingan naib presiden dan juga pemilihan Majlis Tertinggi,” kata pengarah eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar kepada The Malaysian Insight.
Lapan calon bersaing untuk jawatan tiga naib presiden dalam pemilihan Umno yang sedang berlangsung, manakala beberapa nama terkemuka termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mengintai satu daripada 25 kerusi dalam Majlis Tertinggi.
Dalam pemilihan Sabtu lalu, penyandang ketua sayap wanita Noraini mempertahankan jawatannya, menggagalkan kemunculan semula ahli politik veteran Shahrizat Abdul Jalil, manakala Exco kerajaan negeri Melaka, Akmal menang selesa pertandingan ketua Pemuda Umno.
Hisommudin berkata, kemenangan dua sayap utama itu penting buat Noraini dan Akmal.
“Kemenangan itu amat bermakna buat Noraini apabila menewaskan bekas ketua wanita, Shahrizat dan menunjukkan kepimpinannya masih diterima perwakilan wanita Umno di seluruh negara.
“Walaupun menerima cabaran hebat pada peringkat awal, akhirnya Noraini berjaya muncul sebagai pemenang.
“Manakala di peringkat Pemuda pula, ternyata calon yang mendapat restu bekas ketua Asyraf Wajdi Dusuki menang bergaya, meninggalkan jauh tiga pencabarnya,” katanya.
Akmal, yang memiliki ijazah perubatan dari Universiti Perubatan Negeri Russia, merupakan naib ketua Pemuda Umno sejak 2018 dan kini memegang jawatan Exco Melaka.
Perhimpunan Agung Umno awal tahun ini meluluskan resolusi supaya jawatan presiden dan timbalannya tidak dipertandingkan.
Beberapa ahli parti membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mendakwa resolusi itu tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan parti.
Minggu lalu, Kementerian Dalam Negeri, yang menyelia RoS, membersihkan Umno daripada sebarang salah laku.
Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut menyuarakan pandangan Hisommudin, berkata kemenangan Noraini dan Akmal mengukuhkan lagi kedudukan Zahid dalam parti.
“Ia membolehkan Zahid mengesahkan kepimpinannya dalam parti dan menggerakkan hala tujunya untuk cuba mendapatkan semula sokongan,” kata penolong profesor sains politik itu.
Pilihan raya negeri jadi ujian sebenar Umno
Profesor Pengajian Asia Universiti Tasmania James Chin berkata, Zahid, yang kini timbalan perdana menteri dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim, sudah membuktikan penguasaannya dan menggunakan kuasanya dengan menyingkirkan tokoh besar parti seperti Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Noh Omar dan Ismail Sabri Yaakob.
Beliau kini menjangkakan “orang Zahid” akan memenangi baki jawatan dalam parti.
“Hakikat beliau (Zahid) berjaya menolak pertandingan bagi dua jawatan tertinggi sudah menunjukkan beliau mempunyai kelebihan dalam parti.
“Kini saya menjangkakan kebanyakan orangnya akan memenangi pemilihan Umno, sekali gus usaha mengawal parti akan menjadi lebih mudah,” kata Chin.
Chin bagaimanapun berasakan ujian sebenar bukan sahaja terletak pada pemilihan parti tetapi perlu dibuktikan pada pilihan raya negeri akan datang.
Beliau berkata, kekuatan Zahid dan barisan pemimpin Umno akan dinilai dalam pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Memandangkan Zahid memperoleh jawatan presiden dalam parti tanpa memerlukan undi, maka tidak hairanlah beliau akan membantu penyokong atau kumpulannya untuk menang.
“Tetapi keputusan sebenar akan dapat dilihat jika Umno boleh cemerlang dalam enam pilihan raya negeri dan menarik semula undi Melayu.
“Ia jauh lebih berbahaya daripada keputusan pemilihan dalaman parti,” katanya. – 13 Mac, 2023.
Komen