Adakah rakyat Malaysia lebih gembira kini?


The Malaysian Insight

Rakyat Malaysia bakal berdepan pilihan raya umum paling mencabar dalam sejarah. Adakah mereka akan terus memilih untuk berada bawah pentadbiran BN yang terpalit skandal, atau berani memilih Pakatan Harapan untuk mencuba kerajaan yang baru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2018.

ADAKAH sentimen untuk ubah kerajaan masih kuat seperti mana Pilihan Raya Umum 2013 atau 2008 apabila pemerintah Barisan Nasional hilang majoriti besar dan empat negeri kepada pembangkang?

Antara masa lalu dan sekarang, banyak perkara berlaku; perhimpunan Bersih, pemakaian Akta Hasutan kepada pengkritik kerajaan dan dakwaan skandal melibatkan entiti berkaitan kerajaan dan penguasa berlaku dalam keadaan kuasa membeli rakyat Malaysia yang semakin lemah disebabkan peningkatan kos sara hidup.

Pada masa sama, Pakatan Harapan masih belum cukup ampuh untuk memberi harapan perubahan disebabkan kemelut dalaman dan kacau bilau kesepakatan, sehinggalah bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad diberikan kuasa menerajui pembangkang.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, The Malaysian Insight menemui rakyat marhaen Malaysia bertanyakan sama ada mereka gembira atau lebih berharap sekarang, apa yang berubah dalam kehidupan mereka dan apa yang mereka harapkan daripada kerajaan akan datang.

* P. Shanmugam 42, kontraktor persendirian, Kuala Lumpur.

Tiada perubahan drastik untuk pembangunan fizikal dan sosial. Semuanya nampak sama sahaja.

* Quratulain Atiqah 27, peguam, Kuala Lumpur.

Saya berusia 22 tahun dan masih belajar pada pilihan raya umum yang lepas. Apa yang saya nampak sekarang adalah kesedaran untuk undi rosak (sebagai cara protes).

Tetapi rakyat secara umumnya tak faham politik. Mereka tak faham strategi dan gambaran yang lebih besar. Pembangkang mahu jatuhkan BN.

Perkara ini ambil masa. Rakyat sepatutnya ambil masa untuk belajar dan faham berbanding hanya buat tak endah. Awak tak boleh fokus kepada undi rosak atau boikot pilihan raya, awak perlu tengok isu.

Satu lagi perubahan ketara adalah perbincangan politik lebih meluas sekarang disebabkan media sosial. Bagaimanapun, pendekatan pembangkang yang banyak tertumpu kepada GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan 1MDB hanya ada kesan dalam kalangan orang bandar. Tak banyak kesan isu itu kepada penduduk luar bandar.

Bagi rakyat Malaysia, kebimbangan berbeza mengikut generasi. Untuk golongan muda, kebimbangan mendapatkan pekerjaan yang baik, memiliki hartanah sendiri dan idea tentang kerajaan yang bersih dan tidak korup menjadi keutamaan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2018.

* Najeeb Hussin, 38, pendidik, Ara Damansara, Selangor.

Sepuluh tahun lalu saya di UK belajar dan balik tepat pada masanya untuk mengundi. Saya mengundi di Puchong (dimenangi oleh DAP).

Ya, saya gembira tetapi bukan dengan situasi negara sekarang. Ada yang berubah tetapi wujud rasa tak puas hati yang sangat mendalam kepada kerajaan.

Ya (perubahan kerajaan diperlukan). Saya mahukan kerajaan yang bersih, boleh dipercayai dan bertanggungjawab. Saya juga mahu kerajaan yang setia kepada negara, rakyat dan Raja. Pemimpin sekarang tak membuktikan dia layak.

* Abdul Hadi Ismail, 29, jurukamera, Selangor.

Saya ada harapan besar (pada pilihan raya umum 10 tahun lepas). Saya ingat kita boleh tukar kerajaan tapi tak jadi. Perubahan ada, tetapi bukan yang terbaik.

Perubahan kerajaan diperlukan dan kerajaan akan datang perlu tingkatkan (kualiti) kehidupan semua rakyat. Kerajaan yang ideal adalah kerajaan yang bersih, tiada korupsi.

* Jacqueline Foo Yen Chien, 23, ahli psikologi klinikal, Petaling Jaya, Selangor.

Sepuluh tahun lalu, kebimbangan saya adalah untuk lulus SPM. Sekarang, dengan perbelanjaan hidup yang makin tinggi setiap tahun, makin susah untuk saya miliki rumah sendiri.

Saya dilahirkan di Ipoh dan sayangkan tempat asal saya. Bagaimanapun, sangat sedih untuk tengok ada kawasan di Ipoh yang tak membangun sepenuhnya dan kadar jenayah pun makin meningkat.

Tentang perubahan kerajaan, saya tak rasa ia idea yang teruk. Kita sentiasa boleh cuba dan tengok macam mana. Kerajaan akan datang boleh tingkatkan (kualiti) hidup rakyat dengan ada sistem penjagaan kesihatan yang lebih baik untuk kesihatan fizikal dan mental dan sistem pendidikan yang lebih baik.

Pulau Pinang salah sebuah negeri ditadbir Pakatan Harapan disebut-sebut sebagai contoh perubahan kerajaan negeri yang baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2018.

* CH Chan, 65, pesara tukang jahit, Butterworth, Penang.

Saya gembira dengan perubahan kerajaan negeri 10 tahun lalu. Saya tak berapa pasti ketika itu, tetapi saya rasa kerajaan Lim Guan Eng sangat bagus.

Saya tak boleh kata standard kehidupan dah berubah dengan banyak untuk saya hanya kerana kerajaan berubah. Awak tak boleh tingkatkan (kualiti) kehidupan awak jika tak berusaha dan bekerja. Apa kerajaan sekalipun, orang mesti kena kerja.

Tetapi kerajaan Pulau Pinang dah tawarkan banyak perkara bagus untuk rakyat. Majlis perbandaran bayar Rapid Penang untuk perkhidmatan bas percuma di George Town. Saya tak perlu bayar tambang bas dari terminal feri ke Komtar.

Kerajaan negeri baik pulih dan bina pasar baru dan kompleks peniaga. Saya rasa kerajaan negeri layan peniaga kecil dengan baik.

Kerajaan Pulau Pinang buat dasar yang baik. Ia beri bantuan kebajikan tahunan kepada banyak orang…orang tua, ibu tunggal, kanak-kanak bersekolah. Tahun ini, kerajaan merancang perkenalkan kad “I-Love-Penang” yang baru (untuk beri rakyat akses kepada kemudahan sosial dan penjagaan kesihatan).

Jadi saya harap Pulau Pinang tak tukar kerajaan negeri. Saya harap Pakatan Harapan menang lebih banyak negeri. Mungkin menang dua lagi negeri. Supaya pembangkang ada suara yang lebih kuat.

Saya tak pasti jika kita perlu atau kita boleh ubah kerajaan persekutuan. Saya tak tahu banyak tentang politik.

Saya juga baca tentang skandal berkaitan kerajaan persekutuan, tetapi adakah mengubah parti mana yang kawal kerajaan persekutuan membantu? Adakah pembangkang boleh isi “lubang besar” itu? Itu kerja yang sukar.

Saya tak kata kerajaan persekutuan 100% teruk. Ia ada juga dasar yang baik seperti BR1M. Saya guna duit itu untuk kesihatan. Bantuan itu tolong ramai orang juga.

Ramai juga yang merasakan kerajaan Barisan Nasional perlu dikekalkan, yang perlu diubah hanyalah menterinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2018.

* M. Kamini, 35, eksekutif pemasaran, Batu Maung, Penang.

Saya gembira dengan kerajaan negeri dibawah Pakatan Harapan. Ia berbeza dengan ada parti yang sama selama 50 tahun.

Saya nampak PH berjuang untuk lebih saksama dan cuba bawa lebih banyak ketelusan dalam pentadbiran. Kewangan negeri juga dalam keadaan baik. Hutang kita paling sedikit dalam negara.

Tetapi saya akui yang kita hanya nampak di luaran sahaja. Kita hanya tahu daripada laporan media. Tetapi jika kita tengok orang yang datang ke majlis awam di Pulau Pinang, kita boleh nampak mereka lebih gembira. Saya rasa ada lebih banyak solidariti. Rakyat juga lebih sayangkan negeri berbanding dahulu.

Saya rasa sesiapa yang jadi kerajaan persekutuan perlu kerja lebih keras. Hanya dengan itu, rakyat akan jadi lebih baik.

Kerajaan perlu buat lebih lagi untuk tingkatkan ketelusan dan hapuskan korupsi. Kerajaan perlu tunjuk tauladan yang baik perangi korupsi jika mahu rakyat pun lawan dan tolak korupsi.

Saya harap penambahbaikan untuk bidang lain juga, seperti pengurangan jenayah, lebih banyak peluang pekerjaan, peluang saksama untuk semua orang, sistem pendidikan berasaskan merit dan masyarakat penyayang di mana orang lebih berfikiran sivik, lebih penyayang dan menghormati orang lain.

* Fairuz, 27, penjawat awam, Johor Baru, Johor.

Saya rasa tak ada keperluan untuk tukar kerajaan. Mungkin hanya tukar sistem dan perdana menteri. Sejak dia (Najib Razak) berkuasa, kos sara hidup naik.

Ada masalah juga semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, tetapi ia tak begitu ketara atau besar kesannya.

* Harun, 40, penjawat awam, Batu Pahat, Johor.

Saya lebih gembira 10 tahun lalu. Duit kita sikit tetapi kita boleh beli banyak barang. Sekarang semua benda mahal.

Sepuluh tahun lalu kita ada subsidi yang sekarang digantikan dengan BR1M. Kita tak rasa kesannya dengan BR1M. Subsidi tahan lama, barang lebih murah tetapi kita tak rasa kesan begitu dengan BR1M.

Sekarang bukan rakyat yang untung, tetapi syarikat besar.

Tetapi saya tak rasa kita perlu ubah kerajaan. Biarkan sahaja. Hanya tukar menteri. Kerajaan dah baik tetapi caranya uruskan negara tidak. – 16 Mac, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen