
MCA dan Umno yakin yang Tanjung Malim, sebuah kerusi majoriti Melayu di Perak akan kekal berada dalam genggaman Barisan Nasional (BN).
“Saya percaya MCA tak akan ada banyak masalah pertahankan kerusi itu,” kata Ketua MCA Perak dan Exco Negeri Dr Mah Hang Soon kepada The Malaysian Insight.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang itu disebut-sebut sebagai bakal calon menggantikan penyandang kerusi Tanjung Malim sekarang yang juga merupakan Setiausaha Agung MCA Ong Ka Chuan.
Kedua-dua mereka adalah pemimpin MCA yang dikenali dan disukai ramai ahli parti di kawasan itu.
Dr Mah berkata keyakinan itu timbul daripada rekod kejayaan BN pada pilihan raya umum sebelum ini di Tanjung Malim, kerusi milik MCA yang tidak pernah tewas.
Ketua Bahagian Umno Gunung Besout Alias Salion berkata peneroka Felda di Tanjung Malim akan terus setia kepada BN.
Terdapat beberapa penempatan Felda di Tanjung Malim: Besout 1-7, Trolak, Sungai Behrang dan Sungai Klah.
“Ini adalah kubu BN paling kuat. Kami bersyukur kepada semua yang kerajaan berikan kepada kami: tanah, rumah, klinik, pusat internet, mereka juga dah langsaikan sebahagian hutang dengan FGV (Felda Global Ventrues).
“Hidup tak pernah susah (di Felda). Banyak manapun kami hutang, kerajaan tak pernah ketuk pintu (minta hutang). Jika bank, lepas sebulan (tak bayar hutangpun), kami akan terima surat. Kami tak mahu ubah perkara yang boleh ganggu keamanan kami,” kata Alias yang juga merupakan ketua peneroka Besout 1.
Katanya, mereka tidak akan menghalang pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) untuk melawat kawasan Felda tetapi tidak faham mengapa Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad tidak berhenti menyerang BN.
“Kami tak boleh halang dia. Ini demokrasi..(tetapi) mengapa dia tak boleh bersara seperti Abdullah Ahmad Badawi?” kata Alias.
PH akan mengadakan ceramah di Gunung Besout 1 malam ini.
Ketua Wanita Umno Gunung Besout 1 Rodziah Baseran berkata hanya sebilangan kecil peneroka merupakan penyokong pembangkang.
“Kami tak ada masalah di sini. Saya tak tahu mengapa mereka masih marah,” katanya.

Di luar kawasan Felda, penyokong setia BN berkata walaupun mereka merasai bebanan peningkatan kos sara hidup, undi mereka masih untuk BN.
Seorang peniaga jalanan di Trolak yang hanya mahu dikenali sebagai Mar, 71, berkata dia sudah mengundi Umno sejak lima dekad lalu.
“Saya tak suka orang bergaduh. Semua orang patut undi ikut hati mereka…tengok sahaja TV, siapa yang tak korup?” katanya.
Seorang ahli PAS dari Felda Sungai Behrang yang hanya mahu dikenali sebagai Othman berkata dia masih belum membuat keputusan siapakah yang berhak menerima undinya.
“Setiap lima tahun rakyat jadi hakim. Saya tak sokong BN tetapi rekod Dr Mahathir pun teruk. Tengoklah nanti,” kata peneroka yang berusia dalam lingkungan 80-an itu.
Seorang imam dari penempatan Sungai Behrang pula berkata dia akan menyokong Perdana Menteri Najib Razak kerana elaun imam dinaikkan daripada RM750 sebulan kepada RM850 pada 2016.
“Peningkatan itu untuk semua imam di negara ini. Anak-anak saya pun semua akan undi BN…tetapi bila saya mati, tak tahulah bagaimana,” kata peneroka itu.
Hanya seorang peniaga jalanan Melayu di Sungai yang ditemui The Malaysian Insight memberitahu dia akan mengundi DAP selagi mana pemimpin parti itu tidak menyalahguna dana awam.
“Jika DAP boleh jadi adil untuk semua, saya tak kisah. Selagi mana mereka tak menipu duit rakyat,” kata ahli PAS yang enggan dinamakan itu.
Setakat suku terakhir 2017, Tanjung Malim mempunya 55.5% pengundi Melayu, 25.6% pengundi Cina, 13% India dan 5.86% Orang Asli. Kawasan itu mempunyai 68,634 pengundi. – 16 Mac, 2018.

Komen