Libatkan kami dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, kata penduduk


Noel Achariam

Jurucakap Save KL M. Ali menyerahkan memorandum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah di ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di ibu negara, Jumaat lalu. – 12 Mac, 2023.

PENDUDUK Kuala Lumpur menyeru agar lebih ketelusan dan penglibatan awam sebelum Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (KLSP) boleh diwartakan.

Menurut Mereka berkata draf rancangan itu telah dihantar kepada Anwar Ibrahim untuk pengesahan serta menggesa perdana menteri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berhubung dengan mereka sebelum sebarang keputusan dibuat.

Mereka turut mempersoalkan status 56 kemusykilan mengenai KLSP yang telah dikemukakan kepada DBKL pada 2020.

Jurucakap Save KL M. Ali berkata mereka telah mengetahui draf rancangan itu kini bersama Anwar untuk pengesahan semasa persidangan bandar mampan pada 18 Februari.

“Kami menggesa perdana menteri supaya tidak menandatangani dokumen itu. Kami juga mahu semua ahli Parlimen di Kuala Lumpur memastikan KLSP tidak diwartakan lebih awal.

“Proses sewajarnya dan perundingan dengan penduduk dan perniagaan harus dipatuhi dan kebimbangan serta bantahan yang dikemukakan mesti diteliti,” kata Ali kepada The Malaysian Insight.

KLSP adalah rangka tindakan yang menggariskan matlamat, strategi pembangunan dan dasar untuk pembangunan Kuala Lumpur dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Ali berkata pihaknya telah menyerahkan memorandum mengenai keluhan mereka kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah pada Jumaat.

Beliau berkata beberapa kelemahan yang mereka ketengahkan ialah kekurangan dasar seperti yang dikehendaki oleh Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982.

“Ini berbeza dengan KLSP 2020 yang mana dasar dinyatakan dengan jelas.

“Terdapat juga kekurangan strategi yang jelas untuk menangani kekurangan ruang terbuka.”

Tambah Ali terdapat juga kesilapan dalam KLSP mengenai penggunaan tanah sedia ada.

“DBKL juga mendakwa terdapat kekurangan tanah yang belum dibangunkan untuk menampung keperluan perumahan, tetapi data 2019 daripada Napic (Pusat Maklumat Harta Tanah Negara) menunjukkan bahawa perancangan bekalan perumahan kediaman bersama dengan hartanah tidak terjual akan mencukupi, walaupun bukan jenis perumahan yang sesuai.

“Lokasi yang dicadangkan untuk perumahan sosial dan kos rendah bukan berhampiran hab pengangkutan dan tiada pelan induk untuk infrastruktur dan utiliti.”

Ali juga berkata KLSP belum bersedia untuk diwartakan kerana pihak berkuasa masih belum menangani pelbagai input dan bantahan yang dikemukakan.

“Ini mesti dilakukan dengan penglibatan awam. Kegagalan untuk meneruskan proses ini akan menjadikan KLSP sebagai dokumen yang menyalahi undang-undang pada masa pewartaan.”

Mahadi sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan memberi taklimat kepada Anwar mengenai perkara itu sebelum pengesahannya diminta.

Menurutnya, beliau terbuka untuk bertemu dengan Save KL dalam tempoh dua minggu akan datang. – 12 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen