SPRM masih perlukan pembaharuan, kata badan pemerhati


Alfian Z.M. Tahir

C4 menggesa kerajaan merombak SPRM susulan dakwaan siasatan terhadap ahli politik bermotifkan politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2022.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan lebih banyak pembaharuan bagi menjadikan agensi itu lebih bebas dengan menyingkirkannya daripada pengaruh langsung perdana menteri dan cabang eksekutif, kata Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4).

Memberi maklum balas berhubung penahanan dan pertuduhan baru-baru ini terhadap pemimpin Bersatu termasuk bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, C4 menggesa kerajaan merombak SPRM susulan dakwaan siasatan terhadap ahli politik bermotifkan politik.

“Parlimen mesti menggubal reformasi institusi yang akan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus seperti akta perolehan dan akta pembiayaan politik dan penubuhan Ombudsman.

“Ia juga mesti menyegerakan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk menggalakkan pendedahan awam tentang amalan rasuah,” kata C4 sambil menambah SPRM mesti disingkirkan daripada pengaruh langsung perdana menteri dan cabang eksekutif serta diletakkan di bawah pengawasan Parlimen.

“Kerajaan mesti memulakan pembaharuan jangka panjang SPRM. Satu jawatankuasa khas mesti ditubuhkan segera untuk melaksanakannya termasuk pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk membuka laluan kepada penubuhan suruhanjaya bebas antirasuah dengan berkesan,” katanya.

Semalam Presiden Bersatu Muhyiddin didakwa atas enam pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. Beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM232.5 juta.

Bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah dan diikat jamin RM2 juta. Bagaimanapun beliau dijangka menghadapi pertuduhan baharu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin ini.

Muhyiddin memberitahu media keputusan untuk mendakwanya atas tuduhan rasuah dibuat oleh pihak paling berkuasa dalam pentadbiran negara sambil menambah pertuduhan itu sudah diputuskan walaupun sebelum siasatan selesai. 

Bagaimanapun SPRM menegaskan siasatan terhadap beberapa individu berhubung program Jana Wibawa adalah inisiatif berasaskan maklumat dan bukti yang diperoleh badan pencegah rasuah itu sendiri.

SPRM dalam satu kenyataan berkata kertas siasatan yang sudah dilengkapkan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk pertimbangan sewajarnya.

“Proses siasatan tersebut adalah bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak.

“Justeru itu tohmahan yang mengatakan siasatan SPRM tersebut atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik adalah tidak benar sama sekali dan menjejas imej suruhanjaya ini,” katanya.

C4 berkata sebagai badan anti-rasuah tertinggi negara adalah penting untuk SPRM tidak mempunyai kecenderungan politik dalaman.

Ini amat penting memandangkan SPRM kini hanya menjalankan siasatan dan pendakwaan selepas kerajaan baharu memegang jawatan.

“Mengapa siasatan ini tidak dimulakan apabila dakwaan mula-mula muncul?” soal C4. – 11 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen