CADANGAN skim yang membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memohon pinjaman bank dengan menggunakan dana persaraan mereka sebagai cagaran mendapat kritikan ahli ekonomi.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight pencarum tidak seharusnya dibebani dengan bentuk pinjaman lain sambil menambah Putrajaya mesti memberikan alternatif yang tidak melibatkan riba.
Anwar bagaimanapun berkata kemudahan ini hanya untuk mereka yang sangat memerlukan wang.
“Pada prinsipnya saya tidak setuju pengeluaran khas dana simpanan persaraan rakyat.
“Bagaimanapun saya akan pastikan supaya KWSP memberikan ruang bagi pencarum yang mempunyai wang dan dalam keadaan terdesak untuk pinjam daripada bank dengan kolateral atau jaminan cagaran daripada wang KWSP,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat
Anwar berkata ia merupakan langkah terbaik yang boleh dilakukan sekarang memandangkan ketika ini banyak negara yang memberikan kelonggaran seperti pengeluaran dana persaraan telah menghentikan atau membatalkan kemudahan itu.
Hutang akan meningkat jika bank beri pinjaman
Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School tidak bersetuju dengan cadangan Anwar dan berkata langkah itu hanya akan meningkatkan hutang sedia ada.
Beliau menegaskan Anwar sebaliknya perlu memperkenalkan skim pinjaman bukan riba untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Saya tidak bersetuju penyelesaian kepada masalah rakyat ialah meminta mereka terus mengambil (pinjaman) dan menambah hutang dan isu hutang ini dipermudahkan dengan membenarkan caruman KWSP mereka dijadikan cagaran.
“Ini kerana ia akan meningkatkan beban hutang isi rumah yang sudah hampir 90% daripada KDNK dan antara tertinggi di Asia Tenggara. Selain itu ia memerlukan pindaan Akta KWSP yang tidak membenarkan caruman dijadikan cagaran. .
“KWSP juga tidak akan dapat menggunakan caruman tersebut untuk tujuan pelaburan dan ini akan menjejaskan strategi pelaburan KWSP.
“Saya berharap agar rakyat dapat dibantu melalui pembiayaan alternatif yang tidak melibatkan riba,” kata ahli akademik itu.
Bagi Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak, walaupun akta KWSP tidak membenarkan simpanan digunakan sebagai cagaran perkara itu boleh dipinda kerana kerajaan terdahulu membenarkan pengeluaran khas KWSP.
“Pengeluaran itu juga tidak dibenarkan di bawah Akta KWSP jadi pindaan ia tidak akan menjadi isu besar,” kata Barjoyai.
Beliau bagaimanapun mencadangkan kerajaan membenarkan KWSP mengeluarkan pinjaman berbanding pencarum pergi ke bank.
“KWSP mempunyai keupayaan untuk menyediakan pinjaman. Mereka boleh mengeluarkan pinjaman dengan kadar faedah yang rendah iaitu dua hingga tiga peratus setahun.
“Katakanlah dividen untuk KWSP ialah lima hingga enam peratus, tolak kadar faedah, pencarum masih mempunyai margin dua peratus kepada simpanan mereka.”
“Jika mereka mengambil pinjaman bank, kadarnya ialah lapan peratus setahun. Tolak dividen, mereka masih mempunyai tiga peratus kadar faedah yang perlu dibayar.
“Tambahan pula KWSP mempunyai setiap maklumat yang mereka perlukan daripada pencarum manakala bank tidak. Lebih baik KWSP menyediakan pinjaman berbanding bank,” katanya.
Kesatuan pekerja bank bantah cadangan
Kesatuan pekerja bank mengkritik skim yang dicadangkan oleh kerajaan.
Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU) berkata cadangan kerajaan itu dibuat tanpa penelitian sewajarnya menunjukkan simpanan pencarum dilindungi daripada prosiding muflis di bawah Akta KWSP.
“Jadi bagaimana jika peminjam gagal membayar pinjaman mereka? Adakah bank bersetuju untuk memberi pinjaman atas cagaran tersebut?,” kata Ketua Pegawai Eksekutif kesatuan Andrew Lo dalam satu kenyataan.
“Kedua, bank akan mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi daripada dividen KWSP, jadi pencarum akan melihat kedudukan kewangan keseluruhan mereka bertambah buruk,” katanya.
Lo berkata cadangan itu akan membawa kepada peningkatan dalam tahap hutang yang sudah “membimbangkan” dalam kalangan rakyat Malaysia.
KWSP berkata ia akan menilai skim yang dicadangkan dan akan mempertimbangkan semua faktor berkaitan yang terlibat agar ia dapat dilaksanakan dengan lancar. – 11 Mac 2023.
Komen