SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan terhadap beberapa individu berhubung program Jana Wibawa adalah inisiatif berasaskan maklumat dan bukti yang diperoleh badan pencegah rasuah itu sendiri.
SPRM dalam satu kenyataan berkata kertas siasatan yang sudah dilengkapkan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk pertimbangan sewajarnya.
“Proses siasatan tersebut adalah bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak.
“Justeru itu tohmahan yang mengatakan siasatan SPRM tersebut atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik adalah tidak benar sama sekali dan menjejas imej suruhanjaya ini,” katanya.
Awal hari ini bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin didakwa atas enam pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Beliau didakwa menerima rasuah RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 juta untuk parti Bersatu.
Dia memohon dibicarakan dan diikat jamin RM2 juta.
Beliau bakal berdepan pertuduhan baharu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin depan.
Muhyiddin memberitahu media keputusan untuk mendakwanya atas tuduhan rasuah dibuat oleh parti paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum penahanannya semalam.
Beliau menambah pertuduhan diputuskan walaupun sebelum siasatan selesai.
“Mereka hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka.
“Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang,” kata Muhyiddin selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. – 10 Mac 2023.
Komen