SEORANG peguam akan mencadangkan sekali lagi usul mengharamkan hidangan arak dalam semua majlis anjuran Badan Peguam Malaysia dan badan peguam negeri di bawahnya.
Usul itu akan dicadangkan oleh peguam Mohd Amir Bahari Md Noor dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pertubuhan profesional itu yang akan berlangsung Sabtu ini.
Beliau sudah mengemukakan usul sama tahun lalu namun kali ini desakannya kepada semua peguam Islam berbunyi lebih keras.
Dokumen usul berkenaan yang dokumennya dilihat oleh The Malaysian Insight, bertajuk “Mengharamkan segala unsur dan elemen najis arak dan semua makanan dan minuman yang mengandungi alkohol atau yang boleh memabukkan dalam semua majlis yang dianjurkan Bar Malaysia dan badan-badan yang tertakluk kepada bidang kuasa Bar Malaysia”.
Ia menuntut agar semua peguam Islam untuk hadir ke mesyuarat tersebut bagi menyokong usul berkenaan “walaupun sekiranya terpaksa mengesut, menyulur dan merangkak”.
Ia turut menegaskan yang peguam berkenaan perlu hadir “dengan mempersetankan segala bisikan iblis dan syaitan tanpa mengira warna kulit, serban atau sebaliknya, bangsa dan keturunan.”
Dokumen 14 muka surat itu turut memuatkan beberapa potong ayat al-Quran yang mengharamkan arak dan judi yang digunakan Amir sebagai hujah beliau bagi mendapatkan sokongan terhadap usul itu.
Dalam usul yang dikemukakan di mesyuarat agung tahun lalu, Amir menyatakan arak perlu diharamkan dalam semua majlis badan profesional itu kerana ia meningkatkan perbelanjaan tidak perlu sehingga 40%.
Ia turut mengakui Badan Peguam Malaysia dianggotai peguam dari pelbagai latar belakang, kaum serta agama yang berbeza.
Namun hujah Amir, kebanyakan agama melarang pengambilan alkohol.
Usulnya tahun lalu ditolak selepas apabila hanya sembilan peguam menyokong manakala 588 peguam lain membangkang, manakala 16 peguam memilih untuk berkecuali.
Usul pengharaman arak ini merupakan antara 15 usul yang bakal dikemukakan Sabtu ini dalam mesyuarat agung tahunan badan naungan peguam terbesar Malaysia itu.
Amir turut mencadangkan enam usul lain kali ini, kesemuanya berkaitan aduan terhadap enam orang peguam.
Tahun lalu, Amir juga meraih perhatian video kempennya yang diterbit dan disebarkan untuk bertanding jawatan dalam Majlis Peguam.
Dalam video kempen tersebut, beliau menyatakan janji membawa perubahan pada badan berkenaan dan menjadikannya patuh syariah dengan menghentikan amalan menghidangkan minuman keras.
Badan Peguam Malaysia merupakan badan profesional berkanun yang mengawal setia semua peguam di negara ini dan memilih perwakilannya dalam Majlis Peguam Malaysia setiap dua tahun.
Mesyuarat pasa Sabtu ini merupakan AGM kali ke-72 badan tersebut yang kini dipengerusikan oleh peguam George Varughese.
The Malaysian Insight difahamkan antara usul lain yang akan dibahaskan pada mesyuarat agung tahunan itu termasuk usul berhubung penemuan kem pemerdagangan manusia di Wang Klian, Perlis.
Selain itu usul memansuhkan kuasa perdana menteri dalam lantikan hakim serta usul memansuhkan sekatan kelayakan sebagai ahli Parlimen juga dijangka mendapat perhatian. – 15 Mac, 2018.
Komen