Penyokong Bersatu berhimpun beri sokongan kepada Muhyiddin


Sebahagian daripada ahli Bersatu yang berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada presiden mereka Muhyiddin Yassin yang akan didakwa atas pertuduhan rasuah hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 10 Mac, 2023.

AHLI dan pemimpin Bersatu berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menyokong presiden mereka Muhyiddin Yassin yang bakal menghadapi pertuduhan rasuah hari ini.

Beberapa penyokong dilihat memakai t-shirt putih dengan gambar Muhyiddin tertera perkataan “rakyat bersama abah”.

Sementara yang lain membawa sepanduk bertulis “Malicious intent” dan “kerajaan gagal”.

Antara pemimpin parti itui yang turut kelihatan adalah Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, seiatusaha agung parti Hamzah Zainudin, ketua penerangan Razali Idris, ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin, bekas timbalan speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon dan ketua penerangan Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir. 

Turut kelihatan Mohamed Azmin Ali, Rina Harun, Radzi Jidin dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Muhyiddin dalam pada itu tiba di kompleks mahkamah pada jam 8.40 pagi.

Muhyiddin bakal menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – 10 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen