PM umum sagu hati khas RM2,000 untuk warga PNB


Diyana Ibrahim

Perdana Menteri Najib Razak berkata kadar sagu hati yang akan dibayar pada Mei itu ditetapkan lebih tinggi sempena ulangtahun ke-40 agensi pelaburan itu pada tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 15 Mac, 2018.

Perdana Menteri Najib Razak hari ini mengumumkan pemberian sagu hati khas sebanyak RM2,000 untuk setiap kakitangan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Katanya, kadar sagu hati yang akan dibayar pada Mei itu ditetapkan lebih tinggi sempena ulangtahun ke-40 agensi pelaburan itu pada tahun ini.

“Saya sebagai pengerusi yayasan pelaburan telah meluluskan kadar bonus yang tinggi untuk tahun sudah.

“Tapi untuk menyambut 40 tahun bukan senang, bukan selalu kita sambut 40 tahun.

“Maka sempena ulangtahun saya ingin mengumumkan saguhati istimewa,” katanya yang disambut dengan sorakan lebih 1,000 kakitangan PNB hadir di sambutan tersebut di Kuala Lumpur.

Pengumuman bayaran sagu hati itu merupakan satu lagi imbuhan yang diumumkan kepada kakitangan firma berkaitan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam ucapannya, Najib turur memuji PNB yang menurutnya berjaya membina negara dan merealisasikan inisiatif utama kerajaan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Tidak ada golongan yang rasa terpinggir. Kita dapat lakukan di Malaysia dengan pemilikan Bumiputera lebih 30 peratus, 

“Saya ingat masa konsep DEB dilancarkan. Ayah saya cuba jelaskan apa itu DEB. 

“Dalam analogi mudah kita mesti kembangkan potongan (pemilikan) supaya ia boleh dinikmati ramai orang,” katanya merujuk kepada bapanya yang juga  perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein. – 15 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen