BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin bertegas beliau tidak bersalah dan berkata tujuh pertuduhan yang akan dihadapinya esok adalah arahan daripada parti paling berkuasa dalam kerajaan untuk mencemarkan beliau dan memusnahkan partinya, Bersatu, dan Perikatan Nasional (PN).
“Jadi, apa sahaja penjelasan yang saya berikan, saya tetap akan didakwa (esok).
“Pendakwaan terpilih ini adalah tindakan politik yang disengajakan oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, semata-mata untuk melumpuhkan dan memusnahkan Bersatu dan PN,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim tahu PN mendapat sokongan daripada rakyat terutamanya orang Melayu dan Bumiputera dan akan menang besar pada pilihan raya negeri akan datang.
“Saya yakin dan percaya, dengan izin Allah swt jua, Anwar, PH dan parti-parti yang bersekongkol dengannya, akan dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya.
“Saya menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan saya akan jawab segala pertuduhan terhadap saya di mahkamah.”
Muhyiddin berkata SPRM menyoalnya berhubung dua isu - program Jana Wibawa dan rayuan pembatalan cukai oleh Yayasan AlBukhary.
Mengenai program Jana Wibawa, beliau tidak pernah memberi arahan atau mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan.
“Saya juga tidak pernah berjumpa dengan kontraktor-kontraktor yang mendapat projek dan tidak pernah menerima wang daripada mereka.
“SPRM tidak menjumpai sebarang bukti bahawa saya telah menerima wang. Jadi, bagaimana saya boleh dituduh menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa?
SPRM sedang menyiasat dakwaan kontraktor terpilih didakwa mendepositkan RM300 juta dalam akaun Bersatu sebelum pilihan raya umum lalu.
Agensi antirasuah itu bulan lalu membekukan beberapa akaun bank yang dipegang Bersatu sebagai sebahagian daripada siasatan agensi terhadap parti itu.
Bersatu memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman untuk mencabar keputusan itu.
“Adalah dikesalkan dana dalam akaun Bersatu, yang merupakan derma politik, dianggap sebagai rasuah,” kata Muhyiddin.
Bagi Yayasan AlBukhary, beliau berkata mereka diberikan pengecualian cukai oleh kerajaan BN terdahulu.
“Selepas PRU14, kerajaan gabungan PH dibentuk. Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng membatalkan pengecualian cukai.
“Apabila saya menjadi perdana menteri, Syed Mokhtar Al-Bukhary merayu terhadap pembatalan pengecualian cukai.
“Saya telah meminitkan - ‘Sila teliti rayuan ini. Sekiranya teratur, saya tiada bantahan’.
“Rayuan ini telah dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan kemudiannya diluluskan.
“Oleh sebab minit saya tersebut, saya kini didakwa menyalahgunakan kuasa.”
Tambahnya, jika ada sumbangan daripada Syed Mokhtar Al-Bukhary, maka ia atas sebab politik dan dimasukkan terus ke akaun Bersatu.
“Bukan ke akaun saya. Satu sen pun daripada sumbangan tersebut tidak diberikan kepada saya untuk kegunaan saya.”
Muhyiddin berada di ibu pejabat SPRM selama sembilan jam di mana beliau turut direkodkan kenyataannya.
Beliau dibebaskan dengan ikat jamin pada pukul 8 malam dan diperintahkan untuk hadir ke mahkamah esok. – 9 Mac, 2023.
Komen