
KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Felcra Berhad akan membangunkan estet padi berskala besar di Sabah dan Sarawak bagi menangani isu keterjaminan makanan negara.
Timbalan perdana menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Ahmad Zahid Hamidi berkata ia melibatkan kawasan Parlimen Kota Belud dan Kota Marudu di Sabah serta Parlimen Sri Aman di Sarawak dengan keluasan sekitar 15,000 hingga 20,0000 hektar.
“Estet padi ini akan kita buka tanpa menghilangkan hak tanah kerajaan negeri dan hak milik individu sepertimana yang berjaya dilaksanakan di Pasir Salak yang dikenali sebagai Estet Padi Seberang Perak.
“Saya telah meminta sebuah jawatankuasa teknikal di peringkat kementerian dan kerajaan negeri digerakkan sepenuhnya dua hari lepas untuk memberikan beberapa input yang diperlukan kepada kementerian bagi membantu Timbalan Perdana Menteri (Fadillah Yusof) yang menjadi pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keterjaminan Makanan,” katanya.
Zahid yang berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini turut merakamkan penghargaan terhadap kedua-dua kerajaan negeri atas komitmen tinggi yang ditunjukkan bagi membolehkan hasrat itu direalisasikan.
Selain itu katanya, bagi meningkatkan bekalan makanan negara beberapa agensi berkaitan termasuk Felcra dan Felda akan menambah projek bekalan makanan negara seperti penternakan ayam, lembu pedaging dan Projek Urban Farming tanaman fertigasi melibatkan usahawan kecil dan sederhana di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Sementara itu, Zahid berkata kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 300 belia dalam kalangan masyarakat Orang Asli berjaya memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tahun ini.
Menurutnya pada tahun lepas seramai 330 orang berjaya memasuki universiti dan ia merupakan pencapaian yang baik dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Bagi memastikan kesejahteraan masyarakat tersebut, Zahid berkata KKDW telah membentuk Urusetia Pembangunan Ekonomi Orang Asli di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor dilantik sebagai pengerusi.
Beliau berharap dengan kenaikan peruntukan kepada Jakoa iaitu sebanyak RM156.6 juta pada tahun ini pembangunan generasi baharu masyarakat Orang Asli turut dapat ditingkatkan. – Bernama, 9 Mac 2023.
Komen