SPRM akan bebaskan Muhyiddin selepas soal siasat, kata Saifuddin


Sebahagian pemimpin PN yang hadir memberikan sokongan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Mac, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka membebaskan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin lewat hari ini selepas disoal siasat, kata pemimpin parti Saifuddin Abdullah.

“Maklumat terkini ialah beliau akan dibebaskan nanti dan akan menyertai kami untuk solat hajat.

“Saya tidak pasti pukul berapa tetapi nanti,” kata Ketua Bersatu Pahang yang juga ahli Parlimen Indera Mahkota kepada pemberita di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Setakat berita ini ditulis, Muhyiddin masih disoal siasat oleh pihak SPRM sejak masuk untuk diambil keterangan kira-kira jam 11.17 pagi tadi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam pada itu mengesahkan Muhyiddin mungkin didakwa di mahkamah esok.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin memberitahu pemberita beliau percaya Muhyiddin tidak akan ditahan hari ini.

“Saya berdoa dan berharap beliau (Muhyiddin) dibebaskan selepas kenyataannya direkodkan petang ini.

“Saya yakin presiden kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM jika diperlukan,” kata Hamzah.

SPRM sedang menyiasat dakwaan kononnya kontraktor terpilih didakwa mendepositkan RM300 juta dalam akaun Bersatu sebelum pilihan raya umum lalu.

Muhyiddin menafikan perkara ini, sambil menambah beliau adalah mangsa fitnah politik oleh mereka yang berniat mencemarkan nama baiknya. Beliau juga mengancam untuk menyaman pihak yang membuat tuduhan itu.

Sebelum ini dua pemimpin Bersatu didakwa atas tuduhan rasuah minggu lepas.

Bekas ketua penerangan Bersatu dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad didakwa atas tuduhan rasuah.

Mereka didakwa mengumpul dana daripada pemberian projek semasa Muhyiddin memegang jawatan sebagai perdana menteri kelapan. – 9 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen