PERDANA Menteri Najib Razak memberi amaran, lebih banyak berita palsu akan muncul dalam “musim mengarut” menjelang pilihan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Katanya, antara berita palsu atau tuduhan tidak benar yang muncul itu adalah dakwaan bahawa Malaysia akan bankrap.
“Kebelakangan ini kita selalu dengar berita bahawa kononnya negara kita bankrap.
“Ini salah satu lagi daripada fake news sebab sekarang ini dah masuk apa disebut sebagai silly season (musim mengarut).
“Jadi banyak benda pelik timbul sebulan dua ini sampailah hari raya tiba (pilihan raya),” katanya yang berucap sempena Sambutan 40 tahun Permodalan Nasional Berhad di Kuala Lumpur hari ini.
Dakwaan berhubung kebankrapan itu sudah lama ditimbulkan pembangkang yang mendakwa Malaysia bakal muflis jika isu rasuah dan skandal kewangan tidak ditangani.
Najib berkata tidak mungkin Malaysia akan muflis kerana ekonomi negara kini semakin kukuh.
“Cerita pelik Malaysia bankrap dicanangkan satu, dua pihak. Kalau kita bankrap tidak mungkin kita akan capai kadar penarafan A dan kadar pertumbuhan 5.9 peratus.”
Ini bukan pertama kali Najib mengulangi bahawa keadaan ekonomi negara semakin baik.
Isnin lalu di Dewan Rakyat beliau menegaskan bahawa kadar hutang negara masih terurus dan tidak melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata tahap keberhutangan negara kini berada di paras 50.8 peratus daripada jumlah KDNK. – 15 Mac, 2018.
Komen