PERHIMPUNAN agung Bersatu pada hujung minggu ini akan bertukar menjadi perhimpunan besar-besaran bagi menyokong presidennya Muhyiddin Yassin yang mungkin akan ditahan dan berdepan pendakwaan, kata sumber parti.
Sumber berkata perbincangan diadakan malam tadi selepas kecoh berita penahanan Muhyiddin.
Muhyiddin memberi keterangan kepada penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini, di mana beliau dijangka berdepan pertuduhan lewat hari ini atau esok.
“Parti membuat keputusan untuk menyokong presiden kami. Dengan perhimpunan agung hujung minggu ini, kami ambil peluang menjadikan ia tempat untuk kami berdiri dan terus menyokong Muhyiddin,” kata sumber.
Pemimpin PAS dijangka akan menyertai perhimpunan itu.
Parti turut menganjurkan solat jemaah, diikuti dengan ceramah di Taman Melewar di Gombak, Selangor, malam ini.
Lebih banyak acara seumpama itu akan diadakan dalam tempoh beberapa hari akan datang, kata sumber.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris memberitahu media di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya pgi ini, agenda untuk perhimpunan agung mungkin berubah susulan perkembangan terbaru ini.
“Kalau perkara buruk berlaku sekalipun, parti akan teruskan perhimpunan agung.
“Kita lihat dulu apa berlaku. Hari ini beliau (Muhyiddin) dipanggil ke SPRM dan kami perlu lihat dulu tindakan mereka terhadap Muhyiddin.
“Perhimpunan agung akan diteruskan tetapi mungkin ada perubahan agenda,” kata Razali.
Pemimpin parti dan penyokong termasuk Azmin Ali dan Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah turut kelihatan di luar ibu pejabat SPRM pagi ini.
SPRM pada masa ini menyiasat tuduhan berkenaan kontraktor terpilih yang diakwa memasukkan RM300 juta ke akaun Bersatu, parti dalam Perikatan Nasional sebelum pilihan raya umum lalu.
Muhyiddin menafikan perkara itu, mendakwa beliau menjadi mangsa fitnah politik oleh pihak yang berniat mencemar reputasinya.
Dua pemimpin Bersatu sebelum ini didakwa atas tuduhan rasuah.
Bekas ketua penerangan Bersatu dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah minggu lalu. – 9 Mac, 2023.
Komen