BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin dilarang ke luar negara, lapor FMT.
Portal berita itu, memetik dokumen mahkamah, berkata Bersatu mencabar sekatan perjalanan itu.
Parti itu memfailkan permohonan semakan kehakiman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Sekatan perjalanan dikenakan kerana Perdana Menteri Anwar Ibrahim bimbang Muhyiddin akan bercakap mengenai perubahan dan perkembangan politik di Malaysia di forum antarabangsa,” katanya dalam permohonan itu.
Muhyiddin dijadual berucap dalam satu forum di luar negara, menurut laporan FMT.
Dalam dokumen mahkamahnya, Bersatu mendakwa larangan perjalanan yang dikenakan ke atas Muhyiddin salah dan beliau tidak dimaklumkan.
Bekas perdana menteri itu telah dipanggil ke SPRM pagi ini berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
Spekulasi bertiup kencang bahawa Muhyiddin akan ditangkap dan didakwa sama ada lewat hari ini atau esok.
SPRM sedang menyiasat dakwaan kononnya kontraktor terpilih didakwa mendepositkan RM300 juta dalam akaun parti Perikatan Nasional Bersatu sebelum pilihan raya umum lalu.
Muhyiddin menafikan perkara ini, sambil menambah bahawa beliau adalah mangsa fitnah politik oleh mereka yang berniat mencemarkan nama baiknya. Beliau juga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menuduhnya.
Minggu lalu, dua pemimpin Bersatu telah didakwa atas tuduhan rasuah.
Mereka adalah bekas ketua penerangan Bersatu dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan timbalan ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.
Mereka didakwa telah mengumpul dana daripada pemberian projek semasa Muhyiddin memegang jawatan sebagai perdana menteri kelapan. – 9 Mac, 2023.
Komen