Kertas siasatan kes video ahli perniagaan wanita diserah kepada peguam negara


Muzliza Mustafa

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun turut memaklumkam tiga belia yang ditahan untuk membantu siasata sudah dilepaskan dengan ikat jamin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2018.

POLIS menghantar kertas siasatan berhubung dakwaan ahli perniagaan wanita Kogee Sinniah, 41, terhadap polis mengenai penganiayaan dan gangguan pembuli jalan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Beliau menambah tiga lelaki yang ditangkap dua hari lalu juga dibebaskan dengan ikat jamin.

Polis Kuala Lumpur pada Selasa menahan tiga pemuda berusia 18 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes yang dikelaskan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana jenayah mendatangkan ketakutan kepada pengadu.

Polis juga menyiasat tuduhan yang dibuat oleh Kogee terhadap polis yang mendakwa mereka tidak mengendahkan masalah yang sedang dihadapinya.

Kogee dalam videonya yang dilihat hampir 171,000 kali dengan lebih 1,100 komen, mendakwa polis di pos berhampiran pintu masuk  hanya “memeriksa” kakinya dan tidak membantunya yang sedang dalam kesusahan.

Kogee sedang memandu bersama anak lelakinya yang berusia 13 tahun di Persiaran Alam Damai yang sedang dalam pembinaan apabila dia secara tidak sengaja memasuki laluan kereta BMW yang dinaiki tiga lelaki yang kemudiannya bertindak mengikutnya.

Beliau yang panik membuat beberapa panggilan kecemasan 999 sebelum terus ke balai polis Alam Damai untuk mendapatkan bantuan.

Namun sebaik tiba di lampu isyarat beberapa meter daripada balai polis, kereta BMW terbabit didakwa memintas dan menghalang kenderaannya.

“Ketika ini saya tekan hon selama dua atau tiga minit untuk meminta bantuan, tetapi tiada siapa yang datang,” katanya dalam video berkenaan.

Kereta BMW itu kemudiannya beredar manakala Kogee ingin memasuki balai polis namun terhalang dengan kon di laluan masuk.

“Anggota polis datang dari pos itu dan perkara pertama yang ditanya kepada saya adalah: “kamu ke yang tekan hon tadi”.

“Jadi apa maknanya ini? Dia sebenarnya tahu seseorang dalam kesusahan tetapi tiada siapa yang datang untuk melihat apa yang berlaku. Pemandu kereta BMW itu mungkin ada senjata.”

Menurut Ketua polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim, anggota polis di pintu masuk itu hanya menjalankan tugas dan ia adalah prosedur operasi standard untuk memeriksa sesiapa yang ingin memasuki balai polis terutamanya pada waktu malam kerana terdapat ancaman seperti pengganas.

“Anggota polis itu turut bertanya kepada pemandu BMW itu yang berkata mereka marah kerana dia (Kogee) hampir melanggar mereka. Anggota polis berkenaan menasihatkan mereka agar tidak melakukan tindakan menyalahi undang-undang dan meminta mereka membuat laporan sekiranya mereka tidak berpuas hati. Pemandu itu dan rakannya kemudian beredar,” kata Mazlan.

Tambahan Mazlan anggota polis di meja pertanyaan turut keluar kepada Kogee dan bertanya sama ada dia mahu membuat laporan.

“Tetapi dia hanya duduk dalam kereta selama kira-kira 20 minit membuat panggilan telefon. Dia berada di hadapan pintu masuk balai polis. Dia selamat.

“Mungkin berlaku salah faham apabila anggota polis memintanya untuk bercakap baik-baik kerana dia marah dan ketakutan, dan anggota polis berkenaan tidak faham apa yang dia cakap.

“Saya mahu berlaku adil kepada pengadu dan juga anggota saya,” kata Mazlan dan menambah Kogee membuat laporan di balai polis Cheras petang semalam. Beliau berkata polis akan menyiasat semua tuduhan yang dibuatnya. – 15 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen