Amanah intai satu atau dua lagi kerusi dalam pilihan raya Selangor


Noel Achariam

AMANAH mengintai satu atau dua kerusi DUN tambahan, ketika ia bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya negeri Selangor akan datang, kata pengarah biro mobilisasinya Mohd Sany Hamzan.

Penyandang parti itu di luar jangkaan mengekalkan semua kerusinya di Selangor.

Presiden parti Mohamad Sabu mengekalkan Kota Raja manakala bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu (Sepang) dan Mohd Sany (Hulu Langat).

Ahli Parlimen Hulu Langat itu berkata parti itu - yang merupakan sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan yang memerintah - mengadakan beberapa pertemuan dengan sekutu baharu mereka Barisan Nasional (BN) mengenai pilihan raya.

“Pada pilihan raya negeri lepas kita bertanding 10 kerusi dan menang lapan. Kita akan bertanding semula di semua 10 kerusi.

“Kami juga berharap mendapat satu atau dua kerusi tambahan untuk menunaikan amanah yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya negeri Selangor,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu temu bual.

Bulan lalu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata PH boleh memenangi 47 daripada 56 kerusi DUN di Selangor sekiranya pilihan raya negeri akan datang diadakan pada Jun.

Beliau berkata walaupun PAS dan Perikatan Nasional (PN) telah mempamerkan prestasi memberangsangkan pada pilihan raya umum November lalu, ia tidak mudah bagi pakatan pembangkang untuk merampas Selangor daripada PH.

PH yang memerintah Selangor menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN.

Umno/BN mempunyai lima kerusi, manakala PN lima kerusi melalui Bersatu (4) dan PAS (1). Baki kerusi dimenangi Pejuang (3), Parti Bangsa Malaysia (2) dan Warisan (1).

Enam negeri yang akan megadakan pilihan raya negeri pertengahan tahun ini adalah Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai Perikatan, serta Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang dikuasai Pakatan.

Sany, yang juga wakil rakyat negeri Taman Templer di Selangor, berkata perbincangan kerusi masih diteruskan antara PH dan BN, terutama mengenai kerusi yang kini disandang PN.

“Akan dibincangkan sama ada PH dan BN akan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi PN ini.

“Bagi Amanah, kami akan bertanding di semua 10 kerusi kami.

“Di Selangor, jentera kita bersama parti lain sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya, sama ada pada Jun atau Julai.”

Ketika ditanya sama ada PAS/PN boleh kekalkan kejayaan mereka pada PRU15 dalam pilihan raya Selangor, Sany berkata padang permainan di Selangor adalah sama rata.

Beliau juga berkata Amanah mahu melihat perjuangan yang bersih tanpa memainkan isu perkauman dan pembohongan.

“Sebagai contoh, sebelum PRU15, mereka (PN) kata jika PH menang Putrajaya, maka Islam akan diganti dengan Kristian.

“Kita sudah tiga bulan memegang kuasa persekutuan, dan orang Melayu masih pergi ke masjid, menunaikan solat, kanak-kanak pergi ke sekolah tahfiz, wanita masih memakai ‘tudung’, jadi apa isunya?

“Jangan takutkan kaum. Ini tidak betul. Jika mereka mahu berjuang, buatlah dengan fakta. Cukuplah,” katanya kepada parti PN, Bersatu dan PAS. – 9 Mac, 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen