Saya perlu lantang untuk sampaikan mesej, kata Mohd Sany


Noel Achariam

Ahli parlimen Amanah Hulu Langat Mohd Sany Hamzan berkata beliau mahu isu dan dasar beliau di Dewan Rakyat didengar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Mac, 2023.

AHLI Parlimen Amanah Hulu Langat Mohd Sany Hamzan mengakui beliau sentiasa riuh rendah di Parlimen kerana mahu menyampaikan mesejnya kepada kerajaan.

Mohd Sany berkata beliau mahu isu dan dasar beliau di Dewan Rakyat didengar.

“Saya tidak berlagak (apabila menyuarakan isu), itu Sany… Itu pendekatan saya. Saya mahu didengari (di Dewan Rakyat).

“Itulah yang paling penting. Saya mahu kerajaan mengambil perhatian isu yang saya bangkitkan seperti banjir, jalan raya, kekurangan bilik darjah untuk sekolah dan banyak lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu temu bual.

Dalam satu persidangan Sany mendapat sambutan hangat Ahli Parlimen veteran Arau Shahidan Kassim yang kini bersama pembangkang Perikatan Nasional.

Minggu lalu Sheridan merujuknya sebagai kera di Dewan Rakyat, satu kenyataan yang menurut Sany tidak wajar.

“Beliau (Shahidan) adalah ahli politik senior, bekas menteri dan mempunyai pendirian.

“Beliau sepatutnya menunjukkan contoh yang baik untuk ahli Parlimen baharu. Jangan gunakan perkataan yang menyakitkan hati orang.

“Jika beliau mahu marah atau mahu memarahi sesiapa beliau boleh menggunakan perkataan yang betul dan bukan yang negatif,” kata Sany, 44, yang juga Adun Taman Templer di Selangor.

Minggu lalu Dewan Rakyat kecoh apabila Shahidan menyebut perkataan ‘kera’ merujuk kepada Sany ketika menyampaikan ucapan perbahasan Belanjawan 2023.

Shahidan berkata ahli Parlimen baru itu “mempunyai perangai perangai lebih teruk daripada kera dalam hutan”.

Sany kemudian campur tangan dan meminta Shahidan menarik semula perkataan yang tidak layak diucapkan dalam Parlimen.

Shahidan menjawab dengan mengatakan beliau hanya meminta Sany tidak berkelakuan seperti monyet di dalam hutan.

Sany berkata beliau tidak pernah menyerang sesiapa secara peribadi dengan menggunakan kata-kata kasar atau memanggil nama.

“Gunakan perkataan yang boleh diterima oleh semua orang,” katanya sebagai peringatan kepada rakan-rakan ahli Parlimen.

Beliau turut menggesa orang ramai yang memerhati agar tidak meniru contoh buruk di Dewan Rakyat.

“Kita harap orang ramai tidak melihat unsur negatif (dalam Dewan Rakyat) tetapi positif. Lihatlah isu yang kita cuba bangkitkan kepada kerajaan,” katanya. – 9 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen