MUHYIDDIN Yassin bebas dan tidak ditahan, kata pegawainya, selepas media melaporkan bekas perdana menteri akan didakwa di mahkamah susulan siasatan berhubung penyelewengan dana kerajaan.
Sebuah portal berita melaporkan agensi antirasuah menahan Muhyiddin ketika bermain golf, sementara yang lain membayangkan seorang pemimpin kanan Perikatan Nasional akan ditangkap dan didakwa di mahkamah seawal esok.
Dua pemimpin Bersatu sebelum ini dihadapkan ke mahkamah ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kewangan Bersatu dan membekukan akaun bank parti itu.
Pegawai media kepada Muhyiddin, Hafiz Abdul Halim menafikan laporan media bahawa SPRM menahan bekas perdana menteri itu.
“Tidak betul. Beliau tidak ditahan hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight cuba mendapatkan pengesahan daripada SPRM tetapi masih belum mendapat respons setakat berita ini ditulis.
Awal minggu ini terdapat spekulasi SPRM menggeledah sebuah rumah yang dikaitkan dengan Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh. Agensi antirasuah berkenaan bagaimanapun tidak mengesahkan perkara itu.
SPRM sedang menyiasat dakwaan kononnya kontraktor terpilih mendeposit RM300 juta ke dalam akaun Bersatu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Dakwaan itu dinafikan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, berkata ia fitnah yang bertujuan untuk memburukkan imej beliau sebagai bekas perdana menteri.
Minggu lepas, bekas ketua penerangan Bersatu yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad didakwa atas tuduhan rasuah.
Mereka didakwa mengumpul dana daripada penganugerahan projek berkait skim Jana Wibawa semasa Muhyiddin memegang jawatan sebagai perdana menteri kelapan. – 8 Mac 2023.
Komen