Kerajaan guna strategi pelbagai serampang stabilkan harga makanan, kata Rafizi


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata inisiatif seperti Menu Rahmah bukan sahaja memberi pilihan yang murah kepada pengguna malah mendorong persaingan lebih sihat di pasaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac 2023.

KERAJAAN sedang menggunakan strategi pelbagai serampang yang mempengaruhi seluruh rantaian makanan untuk menstabilkan harga makanan pada paras yang mampu beli, daripada bahan mentah sehingga ke makanan di luar rumah.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata inisiatif seperti Menu Rahmah dan Inisiatif Pendapatan Rakyat yang membekalkan makanan siap pada harga RM2 bukan sahaja memberi pilihan yang murah kepada pengguna malah mendorong persaingan lebih sihat di pasaran.

“Mutu (keberkesanan) inisiatif ini sudah pun mula dilihat. Sebagai contoh, inflasi indeks harga pengguna (IHP) bagi komponen makanan di luar rumah telah mereda buat pertama kali sejak Ogos 2021, daripada 9.6% pada bulan Disember 2022 ke 9.3% pada Januari 2023.

“Kerajaan akan memastikan kesinambungan usaha sebegini supaya ia terus dapat meringankan beban rakyat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, tumpuan jangka pendek kepada kebertanggungjawaban harga berpatutan akan juga dilakukan secara berterusan dengan pembangunan ekosistem berasaskan data-data harga dari seluruh negara, demi menyuntik keanjalan harga dan bekalan.

Selain itu, bagi menyeragamkan harga tujuh barangan asas yang terlibat iaitu beras putih, gula, minyak masak satu kilogram, tepung gandum, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel, Program Penyeragaman Harga (PPH) akan diteruskan oleh kerajaan.

“Ini untuk memastikan bekalan barangan tersebut sampai kepada penduduk di kawasan luar bandar/pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Pelaksanaan program ini akan membolehkan semua rakyat membeli barangan keperluan pada harga yang seragam,” menurutnya.

Beliau berkata kementerian turut meneliti kenaikan harga barang sewaktu musim Tahun Baru Cina, pertumbuhan bulan ke bulan pada tahun 2023 (0.2%) adalah rendah berbanding tahun 2021 (0.3%) dan 2022 (0.24%).

Perkembangan itu amat menggalakkan kerana membuktikan bahawa Malaysia telah berjaya meredakan kadar kenaikan harga dan kekangan rantaian bekalan global dan lonjakan permintaan bermusim, katanya. – Bernama, 8 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen