Ahli Parlimen Pendang diarah keluar Dewan Rakyat


Ahli Parlimen Pendang Awang Hasim digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama dua hari selepas berulang kali mencelah dan menganggu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menggulung perbahasan Belanjawan 2023 hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac 2023.

AHLI Parlimen Pendang diarah keluar Dewan Rakyat dan digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama dua hari selepas berulang kali mencelah dan menganggu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menggulung perbahasan Belanjawan 2023.

Tindakan Awang Hashim mencelah beberapa kali walaupun telah diberi amaran menyebabkan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengarahkan beliau diarah keluar dewan.

“Saya rehatkan Pendang untuk dua hari, keluar sekarang, hari ini dan esok (Khamis),” kata Johari.

Sesi penggulungan Rafizi kecoh dan bertambah tegang apabila ahli Parlimen Pandan itu menggelar Awang badut. Awang sebelum itu beberapa kali bangkit untuk mencelah bagi mendapatkan penjelasan mengenai peruntukan pembangunan.

“Pendang kalau nak jadi badut, boleh cari menteri yang lain berucap, bukan masa saya, saya ada benda penting yang saya nak sebut,” kata Rafizi.

Awang kemudian bangun dan berkata ucapan Rafizi itu sangkaan jahat terhadap pembangkang, menyebabkan Johari mengarahkan beliau keluar dewan. 

“Saya rehatkan Pendang untuk dua hari, keluar sekarang, hari ini dan esok.

“Saya sudah beritahu awal kalau menteri tak beri masa dan tempat, Pendang jangan bangkit sebab menteri tak bagi, tapi dia bangkit juga,” kata Johari.

Rafizi kemudian menarik balik perkataan badut selepas diarahkan speaker. – 8 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen