KUALA LUMPUR dan Putrajaya mempunyai paling ramai penduduk yang mengalami kemurungan dan kebimbangan (anxiety), kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa kepada Parlimen.
Beliau berkata, keputusan itu diperoleh daripada saringan yang dijalankan kementerian tahun lepas, melibatkan seramai 336,900 individu.
“Daripada saringan itu, kami mendapati negeri (atau wilayah) yang paling ramai mengalami kemurungan dan kebimbangan ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya” kata ahli Parlimen Sekijang itu semasa sesi soal jawab menteri hari ini.
Zaliha berkata pelbagai isu menyebabkan Kuala Lumpur dan Putrajaya menduduki tempat teratas carta termasuk masalah kewangan dan hubungan.
“Sebabnya kerana kos sara hidup di Kuala Lumpur dan Putrajaya agak tinggi, maka bilangan golongan B40 dan miskin bandar juga tinggi di wilayah ini.
“Selain itu, terdapat masalah hubungan. Contohnya tekanan daripada ibu bapa yang memberi tekanan kepada anak-anak, hubungan dengan rakan sebaya dan juga dengan kawan.
“Ini adalah sebab mengapa penduduk di kawasan ini mengalami kemurungan dan kebimbangan,” katanya.
Zaliha menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan [PH-Hulu Langat], yang meminta menteri kesihatan menamakan negeri paling ramai mengalami masalah kesihatan mental.
Zaliha tidak mendedahkan keputusan penuh tinjauan itu. – 8 Mac, 2023.
Berita penuh di sini
Komen