Projek tebatan banjir tidak batal, hanya ditender semula, kata PM


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan membatalkan sebarang projek yang dilakukan melalui rundingan langsung.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2023.

PUTRAJAYA tidak pernah membatalkan projek tebatan banjir tetapi hanya ditender semula, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Parlimen.

Beliau berkata projek tebatan banjir yang diluluskan sebelum ini melalui rundingan langsung menanggung kos yang tinggi.

“Saya mahu menekankan sekali lagi di sini, projek tebatan banjir diluluskan oleh kementerian masing-masing. Diluluskan dengan peruntukan yang ditentukan,” kata ahli Parlimen Tambun kepada Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab menteri hari ini.

“Saya membatalkan (perjanjian awal) kerana kosnya tinggi dan ia melalui rundingan langsung tetapi projek itu mesti diteruskan.

“Projek tebatan banjir adalah projek yang mendesak tetapi tidak boleh menggunakan kaedah rundingan langsung kerana peningkatan kos, jadi kami menggunakan proses tender terhad pada masa yang sama, untuk mempercepatkan proses.

“Saya tidak membatalkan projek tebatan banjir tetapi membatalkan (pemberian projek melalui) rundingan langsung,” katanya.

Anwar menjawab soalan dari Shahidan Kassim (PN-Arau), yang bertanya mengapa kerajaan tidak mengisytiharkan darurat bencana di negeri yang dilanda banjir, terutama Johor.

Terdahulu semasa pembentangan Belanjawan 2023, Anwar berkata rundingan langsung untuk projek-projek tebatan banjir hanya untuk “membazirkan wang rakyat” dan mendakwa keluliusan terburu-buru projek berkenaan menyebabkan kerugian kepada negara.

Anwar berkata kerajaan akan tender semula enam projek tebatan banjir menjelang Jun dan RM2 bilion boleh dijimatkan daripada projek berkenaan.

Projek-projek ini termasuk kerja tebatan banjir di Sungai Johor dan Kota Tinggi di Johor, pembinaan reservoir Dual-Function Sungai Klang-sungai di Selangor, dan Pembangunan Basin Fasa 3 Sungai Golok di Kelantan.

Rundingan langsung yang diluluskan sebelum ini kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Jabatan Peguam Negara.

Anwar berkata bahawa langkah itu bukan politik dan beliau akan membatalkan sebarang projek yang dilakukan melalui rundingan langsung.

“Bukan sahaja projek ini tetapi semua projek yang diluluskan, jika tidak ditandatangani, saya akan batalkan untuk memastikan kita mempunyai tender. Itu tidak akan salah,” katanya.

Menjawab soalan Shahidan, Anwar berkata tidak ada keperluan bagi kerajaan persekutuan untuk mengisytiharkan darurat bencana buat masa ini.

“Menurut maklumat terkini, termasuk dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), tidak perlu darurat kerana keadaan lebih terkawal sekarang daripada sebelumnya,” katanya.– 7 Mac, 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen