Kes muflis catat trend menurun, kata Ahmad Maslan 


Ravin Palanisamy

Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata jumlah belia dalam senarai muflis juga menunjukkan trend menurun tahun lepas.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2023.

JUMLAH kes muflis di negara ini terus menurun lebih 70% tahun lepas berbanding 2016, kata Ahmad Maslan.

Timbalan Menteri Kewangan berkata, jumlah belia dalam senarai muflis juga menunjukkan trend menurun tahun lepas.

“Menurut maklumat yang diperoleh daripada Jabatan Insolvensi, jumlah kes muflis bagi individu menurun sejak 2016 daripada 19,588 kes kepada 5,695 setakat 2022.

“Jumlah belia, individu di bawah umur 35 tahun, juga menunjukkan trend penurunan yang menyumbang 13.5% daripada jumlah kes muflis bagi tahun 2022 berbanding 22.5% antara 2017 dan 2021,” kata ahli Parlimen Pontian pada sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad menjawab soalan tambahan Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai langkah kerajaan membantu individu muflis.

Ahmad berkata terdapat pelbagai prosedur yang perlu diambil kira oleh institusi kewangan untuk mengisytiharkan seseorang individu sebagai muflis dan mengisytiharkan mereka bankrap.

Tambahnya, pindaan Akta Insolvensi 1967 juga akan membantu mereka yang diisytiharkan muflis.

Bagaimanapun, beliau juga berkata kerajaan akan membebaskan mereka yang diisytiharkan muflis dengan hutang di bawah RM50,000.

Ketika membentangkan Belanjawan 2023, perdana menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim berkata bankrap yang hutangnya di bawah RM50,000 boleh dibebaskan daripada status muflis mulai 1 Mac.

Anwar berkata, dianggarkan 130,000 orang akan dibebaskan daripada status muflis apabila pindaan itu diluluskan. – 6 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen